Paya Linda Yahya


Gua Musang : "Insya-Allah kami lapan beradik akan ingat pesan arwah abah supaya tidak tinggal solat dan solat tepat pada waktunya," kata Ummu Noor Hafshah sambil menahan sebak.

Ummu Noor Hafshah Mohd Zuki, 28, anak sulung kepada mangsa kemalangan maut di Kilometer 37 Jalan Gua Musang-Jeli, di sini, semalam.

Menurutnya, ayahnya, Mohd Zuki Mohamed Ali, 55, bersama dua adik lelaki, Muhammad Hasbullah, 15, dan Muhamad Huzaifah, 18, dalam perjalanan ke Dabong, Kuala Krai untuk menghadiri majlis tahlil malam ke 40 arwah datuk mereka kira-kira 5.30 petang.

"Namun, kami terima panggilan daripada seorang individu kira-kira jam 6.20 petang menggunakan telefon bimbit milik Muhamad Huzaifah yang menyatakan arwah abah dan adik terbabit kemalangan.

"Seminggu sebelum ini memang ada perubahan sikap arwah abah yang lebih banyak diam. Namun kami tidak mengesyaki apa-apa.

"Malah arwah yang mengajak dua adik lelaki bersama untuk ke majlis tahlil arwah datuk di Dabong dan katanya ini adalah kali terakhir," katanya ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Kerinting, di sini, hari ini.

Dalam kejadian 6.15 petang semalam, Mohd Zuki yang juga pemandu ambulans dan Muhammad Hasbullah, 15, maut selepas dinaiki bertembung dengan sebuah lori muatan kayu.

Ummu Noor Hafshah berkata, Muhammad Hasbullah baharu seminggu tinggal bersama keluarga kerana sebelum ini belajar di sekolah tahfiz.

"Adik baru bertukar ke Sekolah Menengah Agama (A) Maahad Muhammadi Gua Musang minggu lalu.

"Arwah bersungguh untuk bertukar sekolah kerana ingin bersama keluarga," katanya.

Sementara itu isteri mangsa, Noor Azizah Ismail, 51, berkata dia reda dengan kehilangan dua insan tersayang dan menganggap ini sebagai ujian.

"Kebiasaannya saya akan bersama arwah ke Dabong untuk melawat ayahnya yang sebelum ini sakit, namun semalam saya ada urusan dan tidak dapat ikut sekali.

"Ujian ini amat berat kerana hilang keduanya sekelip mata, namun saya reda dan kuatkan semangat demi anak-anak," katanya yang juga berkerja sebagai Pembantu Tadbir Mahkamah Syariah Gua Musang.

Jenazah dua beranak selamat dikebumikan di dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kerinting, di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Julai 2023 @ 12:45 PM
JENAZAH Mohd Zuki dan anaknya Muhammad Hasbullah dikebumikan dalam satu liang lahad, di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kerinting, hari ini. FOTO Paya Linda Yahya.
JENAZAH Mohd Zuki dan anaknya Muhammad Hasbullah dikebumikan dalam satu liang lahad, di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kerinting, hari ini. FOTO Paya Linda Yahya.