Poliana Ronnie Sidom


MAHKAMAH Sesyen Sandakan, hari ini menjatuhkan hukuman penjara 24 tahun dan 18 sebatan terhadap tukang sabit kelapa sawit kerana merogol anak kandungnya, awal tahun ini.

Hakim Ummu Kalthom Abdul Samad turut memerintahkan lelaki berusia 52 tahun itu diberikan kaunseling pemulihan sepanjang tempoh dipenjara yang berkuat kuasa hari ini.

Berdasarkan fakta kes, pada hujung Disember 2017, ibu mangsa melarikan diri dari rumah di sebuah kampung di Beluran kerana tidak tahan dengan perbuatan tertuduh yang sering memukulnya.

Selepas ibu mangsa lari, gadis berusia 19 tahun itu tinggal berdua bersama bapanya sebelum tertuduh merogol mangsa bermula 2 Januari sehingga 7 Februari lalu.

Akibat tidak tahan perbuatan bapanya, mangsa mengadu kepada ibu saudaranya yang tinggal di kampung sama, namun tiada tindakan diambil kerana wanita itu takut dengan tertuduh.

Mangsa kemudian mengadu kepada abang kandungnya yang bekerja di bandar melalui telefon sebelum laporan polis dibuat dan tertuduh ditangkap pada 9 Februari lalu.

Pemeriksaan perubatan turut mengesahkan terdapat kesan koyakan pada kemaluan mangsa.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Faisal Md Noor, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tertuduh dijatuhkan hukuman itu mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan.

Ummu Kalthom turut mengarahkan tertuduh dirujuk kepada Jabatan Imigresen Malaysia sehingga dapat membuktikan dia adalah rakyat Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Jun 2018 @ 7:03 PM