JALALUDDIN (kiri) bersama Aminuddin meraikan kejayaan bersama penyokong di pusat Perhimpunan Keputusan Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di Seremban, Sabtu lalu . FOTO Arkib NSTP
JALALUDDIN (kiri) bersama Aminuddin meraikan kejayaan bersama penyokong di pusat Perhimpunan Keputusan Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di Seremban, Sabtu lalu . FOTO Arkib NSTP
Abnor Hamizam Abd Manap

Jelebu: Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaluddin Alias menegaskan beliau belum dipanggil oleh Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berhubung perlantikan ahli mesyuarat kerajaan negeri (exco).

Katanya, beliau tidak pasti bila perbincangan itu akan diadakan, namun percaya ia akan dilakukan dalam minggu ini.

"Tiada tempoh ditetapkan bagi perlantikan Exco namun bagi memastikan kelancaran pentadbiran Kerajaan Negeri, saya fikir dalam minggu ini juga exco akan dilantik.

Namun buat masa ini, saya belum dipanggil bagi mengadakan perbincangan berkaitan dan belum mengemukakan nama calon dari Barisan Nasional (BN ) untuk dilantik sebagai exco," katanya ketika dihubungi.

Jalaluddin yang menang kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Pertang berkata, nama-nama yang akan diserahkan kepada Menteri Besar untuk dilantik sebagai exco adalah gabungan muka lama dan baharu.

Sementara itu Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu berkata, BN diharap mendapat lima atau enam kuota exco berdasarkan kepada jumlah kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

Katanya, apapun keputusan akhirnya selepas beliau mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar.

Pada PRN Negeri Sembilan Sabtu lalu BN menang 14 kerusi, Pakatan Harapan (PH ) memenangi 17 kerusi, sekali gus membentuk membentuk Kerajaan Negeri dengan majoriti dua pertiga.

Calon Perikatan Nasional (PN) mencipta kejutan apabila menang di lima kerusi Dun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Ogos 2023 @ 10:28 AM