Mohd Amin Jalil


Seremban: Umno dan Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan akan memastikan tiada pertembungan satu sama lain antara calon BN/Umno dan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, berkata, pihaknya sudah membincangkan perkara itu dengan Menteri Besar merangkap Pengerusi PH negeri, Datuk Seri Aminuddin Harun, dalam satu mesyuarat di sini, semalam.

"Persefahaman sudah dicapai dari segi pembahagian kerusi antara kedua-dua pihak bahawa calon Umno/BN tidak akan bertembung sesama sendiri dengan calon PH pada PRN nanti.

"Itu keutamaan kita. Insya-Allah kita akan mencapai kata sepakat mengenai perkara ini dan buat keputusan dalam masa terdekat.

"Umno/BN akan bertanding di kerusi-kerusi yang akan ditentukan dan PH begitu juga dengan fokus utama kita adalah untuk memastikan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Negeri Sembilan ini dapat dipertahankan bagi membentuk Kerajaan Perpaduan," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Turut hadir semua ahli jawatankuasa yang baharu dilantik termasuk Timbalan Pengerusi, Datuk Hasim Rusdi; Ketua Penerangan, Datuk Ismail Lasim; Ketua Wanita, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid; Ketua Pemuda, Mohamad Fadil Md Zin dan Ketua Puteri, Hazratul Ilani Misdar.

Mengulas lanjut, Jalaluddin berkata, Umno/BN bercadang untuk menambah dua kerusi dalam kawasan Parlimen Seremban dan Rasah bagi menampakkan keseimbangan terhadap kedudukan BN di kawasan berkenaan.

Ketika ini, kedua-dua kawasan Parlimen terbabit dikuasai sepenuhnya oleh wakil DAP kecuali DUN Lenggeng oleh AMANAH dan DUN Labu yang diwakili PKR.

"Saya berharap Umno/BN dapat diberi peluang bertanding di kawasan Parlimen Seremban dan Rasah dan sudah minta Menteri Besar untuk memberikan perhatian khusus agar BN diberikan peluang untuk bertanding dengan tambahan dua kerusi di

kawasan terbabit.

"Ini bagi menampakkan ada gandingan antara parti-parti dan saya percaya, kami akan dapat mencapai kata sepakat mengenai kerusi ini dalam masa terdekat bagi membolehkan kita membentuk kerajaan tanpa pembangkang selepas PRN nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 April 2023 @ 9:26 PM