PAUS sperma, gambar fail. FOTO AFP
PAUS sperma, gambar fail. FOTO AFP
Agensi

Roseau: Saintis yang mengkaji spesis paus sperma mendapati bahawa mamalia laut itu berkomunikasi melalui sejenis abjad fonetik untuk membolehkan paus membina blok binaan bahasa, menunjukkan potensi persamaan dengan manusia disebut sebagai perkataan dan frasa.

Al Jazeera melaporkan, kajian itu diterbitkan pada Selasa membabitkan paus sperma di sekitar kepulauan Caribbean di Republik Dominica.

Kajian itu menerangkan cara paus Sperm berkomunikasi dengan memerah udara melalui sistem pernafasan mereka untuk membuat klik pantas menyerupai kod Morse, dengan set bunyi yang membentuk blok asas bahasa.

Penyelidikan itu juga menunjukkan expressivity (kekreatifan dalam ekspresi) panggilan daripada paus Sperm adalah lebih besar daripada yang difikirkan sebelum ini, kata Pratyusha Sharma, pengarang utama kajian yang diterbitkan dalam jurnal Nature Communications itu.

"Kami tidak tahu lagi apa yang mereka katakan. Kami sedang mengkaji panggilan dalam konteks tingkah laku mereka seterusnya untuk memahami apa yang boleh dikomunikasikan oleh paus sperma," kata Pratyusha.

Saintis sudah mencuba selama beberapa dekad untuk memahami bagaimana paus sperma berkomunikasi.

Kumpulan penyelidik, sebahagian daripada pasukan pembelajaran mesin projek CETI (Inisiatif Terjemahan Cetacean), mencipta studio rakaman bawah air gergasi.

Studio itu lengkap dengan mikrofon pada kedalaman berbeza untuk memeriksa panggilan yang dibuat oleh kira-kira 60 ekor paus yang ditandakan untuk memastikan sama ada mereka menyelam, tidur atau bernafas di permukaan sambil mengklik.

Selepas menganalisis lebih daripada 8,700 coretan klik paus sperma, yang dikenali sebagai kod, penyelidik mendakwa sudah menemui empat komponen asas yang membentuk 'abjad fonetik'.

Pratyusha berkata, abjad boleh digunakan oleh paus dalam jumlah gabungan yang tidak terhad, sama seperti manusia menggabungkan bunyi untuk menghasilkan perkataan bagi menghasilkan ayat.

Pengasas dan Presiden CETI David Gruber, berkata berjuta-juta dan mungkin berbilion-bilion kod paus akan diperlukan bagi mengumpul data yang mencukupi untuk cuba memahami apa dikatakan oleh ikan paus.

Tetapi Gruber menjangkakan kecerdasan buatan (AI) membantu mempercepatkan analisis.

Beliau berkata populasi ikan paus sperma lain yang ditemui di lautan dalam dari Artik ke Antartika, mungkin berkomunikasi dengan cara yang sedikit berbeza.

Paus sperma mempunyai otak terbesar daripada mana-mana haiwan di planet ini - sebanyak enam kali saiz otak manusia biasa. Hidup dalam kumpulan matriarki kira-kira 10 ekor, mereka kadang-kadang bertemu dengan ratusan atau ribuan paus lain.

Mereka boleh membesar sehingga 18 meter panjang dan tidur menegak, dalam kumpulan.

Diburu selama berabad-abad untuk minyak yang terkandung dalam kepala gergasi mereka, spesis itu diklasifikasikan sebagai terancam oleh Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam (IUCN) yang berpangkalan di Switzerland.

"Apa pun, mereka (paus sperma) nampaknya mempunyai hubungan sosial yang canggih dan mentafsir sistem komunikasi mereka boleh mendedahkan persamaan dengan bahasa manusia dan masyarakat.

"Tetapi komunikasi antara manusia dan paus sperma masih agak jauh. Saya fikir terdapat lebih banyak penyelidikan yang perlu kita lakukan sebelum kita tahu sama ada idea yang baik untuk cuba berkomunikasi dengan mereka, atau benar-benar mempunyai rasa sama ada itu mungkin," kata pengarang bersama kajian Jacob Andreas.

Profesor Madya Lautan di Universiti Stanford di Amerika Syarikat (AS) Jeremy Goldbogen, menggelar penyelidikan baharu itu sebagai luar biasa.

Dia mengatakan ia mempunyai implikasi yang besar terhadap cara manusia memahami gergasi laut itu.

Pengetahuan itu, katanya, juga harus digunakan untuk tujuan pemuliharaan, seperti meminimumkan risiko mamalia marin berkenaan dilanggar kapal.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2024 @ 2:46 PM