Imam Tua Masjid Ibrahimi, Mohd Rosman Che Harun (kanan) menunjukkan kesan kebakaran membabitkan masjid dan rumah dua tingkat berdekatan Masjid Ibrahimi, Pasir Puteh. FOTO Nor Amalina Alias
Imam Tua Masjid Ibrahimi, Mohd Rosman Che Harun (kanan) menunjukkan kesan kebakaran membabitkan masjid dan rumah dua tingkat berdekatan Masjid Ibrahimi, Pasir Puteh. FOTO Nor Amalina Alias
Nor Amalina Alias


Pasir Puteh: Jemaah yang sedang bersiap untuk menunaikan solat maghrib di Masjid Ibrahimi di sini, terkejut apabila berlaku kebakaran memusnahkan sebahagian struktur masjid.

Dalam kejadian jam 7 petang semalam, kebakaran dikatakan bermula dari sebuah kediaman dua tingkat berhampiran sebelum api merebak ke masjid itu.

Imam tua masjid berkenaan, Mohd Rosman Che Harun berkata, kebakaran menyebabkan kerosakan fizikal di bahagian bumbung pejabat masjid, dua alat penghawa dingin, cermin pada bahagian dapur masjid selain kerosakan saluran paip dan air.

Katanya, dia menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada jam 7.15 malam daripada salah seorang ahli jawatankuasa (AJK) masjid yang dalam perjalanan menunaikan solat maghrib.

"Anggota bomba bertindak pantas dan sempat memadamkan kebakaran dari merebak ke seluruh bahagian masjid ini. Saya bersyukur anggota bomba berjaya menyelamatkan masjid ini," katanya.

Dia berkata, setakat ini pihaknya masih menilai kerugian dialami masjid berkenaan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Puteh, Penolong Penguasa Bomba Azhar Elmi Mustofar berkata, seramai 17 termasuk pegawai dan anggota daripada BBP Pasir Puteh dan Tok Bali terbabit dalam operasi pemadaman itu.

"Kebakaran membabitkan rumah dua tingkat separa kayu dan memusnahkan keseluruhan bahagian atas rumah dan sebahagian bahagian bawah rumah. Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Sementara itu orang ramai yang mahu membantu memulihkan kerosakan masjid berkenaan boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam di nombor 03090010009451 (Akaun Am Masjid Ibrahimi) atau 03090010009440 (Akaun Masjid Ibrahimi Akaun Pembangunan).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2024 @ 2:37 PM