Fardy Bungga


JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah merampas dua kontena di Pelabuhan Sepanggar di Kota Kinabalu selepas didapati mengandungi gading gajah dan sisik tenggiling yang dianggarkan bernilai RM80.5 juta pada 29 Ogos lalu.

Kedua-dua kontena yang baru tiba dari negara jiran itu diisytiharkan membawa kacang tanah disyaki berasal dari negara Afrika.

Ketua Pengarah Kastam Malaysia Datuk Seri T Subromaniam berkata, pihaknya turut menahan seorang lelaki berusia 43 tahun dan kini direman tiga hari untuk siasatan lanjut.

Katanya, rampasan membabitkan 1,148 gading gajah seberat tiga tan dan lebih lima tan sisik tenggiling.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(A) Akta Kastam 1967 kerana mengimport barang larangan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang 10 kali ganda nilai barangan atau maksimum 20 kali ganda atau penjara tidak lebih tiga tahun.

"Kes ini turut disiasat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFAPUA) 2001," katanya pada sidang media, di Ibu Pejabat JKDM Sabah, hari ini.

Turut hadir, Pengarah JKDM Sabah Datuk Hamzah Sundang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 September 2017 @ 12:24 PM