Tan Sri Soh Thian Lai
Tan Sri Soh Thian Lai
Alzahrin Alias


Petaling Jaya: Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) menyarankan supaya Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) diperkenalkan semula sebagai langkah terbaik untuk meningkatkan hasil kerajaan.

Presiden NCCIM, Tan Sri Soh Thian Lai berkata, GST bersifat menyeluruh untuk semua pihak berbanding pengenalan pelbagai cukai baharu ketika ini yang hanya tertumpu kepada beberapa golongan.

Beliau berkata, NCCIM yang juga gabungan lima dewan perniagaan iaitu Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Gabungan Dewan Perniagaan Dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM), Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI), Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) dan Dewan Perniagaan dan Industri Antarabangsa Malaysia (MICCI) turut bersetuju GST 2.0 perlu diperkenalkan pada kadar empat peratus.

Katanya, langkah kerajaan memperkenalkan pelbagai cukai baharu bagi menampung pendapatan kerajaan yang pada akhirnya memberikan tekanan kepada perniagaan, justeru wajar mempunyai pandangan politik yang jelas dengan memperkenalkan semula GST.

"Jika GST 2.0 dilaksanakan semula, semua pihak akan dikenakan cukai, termasuk pekerja asing di negara ini. Ketika ini, mereka tidak dikenakan sebarang cukai.

"Malah jumlah yang diperoleh oleh GST juga lebih tinggi berbanding cukai sedia ada. Kerajaan juga boleh beri semula hasil GST ini kepada golongan memerlukan menerusi pemberian rebat atau pemberian baucar petrol, tenaga atau runcit.

"Satu cukai untuk semua. Kerajaan dapat tambah pendapatan, rakyat dapat kembali bayaran cukai menerusi pemberian semula baucar atau rebat dan perniagaan juga dapat terus berdaya saing," katanya ketika ditemui pada Forum Ekonomi Nasional NCCIM 2024 di sini, hari ini.

Sementara itu, Thian Lai berkata, Malaysia kini berdepan dengan pelbagai cabaran yang menuntut perhatian bersama dan tindakan bersepadu.

Beliau berkata, lonjakan teknologi dengan kemajuan dalam kecerdasan buatan, automasi dan pendigitalan bukan sahaja meningkatkan kecekapan, tetapi turut memberi halangan kepada industri.

Katanya, penerimaan teknologi dan inovasi digital katanya, juga menyebabkan perniagaan terdedah kepada serangan siber.

"Kesalinghubungan pasaran global mendedahkan semua pihak kepada kelemahan yang berpunca daripada kejutan luaran dan turun naik ekonomi, menekankan keperluan untuk daya tahan dan perancangan strategik," katanya.

Beliau menambah, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) sudah menaikkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia mencerminkan prospek yang lebih baik untuk ekonomi maju.

Katanya, pemacu utama kepada pertumbuhan global pada 2024 adalah kemungkinan pemulihan dalam perdagangan global melonjak kepada 2.6 peratus daripada penguncupan 1.2 peratus pada 2023.

"Pada 2024, ekonomi Malaysia bersedia untuk pemulihan yang diterajui eksport serta peningkatan pelaburan dan sektor pelancongan.

"Bagaimanapun, perbelanjaan pengguna mungkin lebih terhad pada 2024 dengan kadar pertukaran ringgit yang lemah, kenaikan kadar cukai perkhidmatan dan program rasionalisasi subsidi kerajaan yang memberi tekanan terhadap inflasi dan kos sara hidup," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2024 @ 2:55 PM