TANGKAP layar Allahyarham Mustafa ketika bersiaran langsung memberi ceramah kuliah Subuh di Masjid At-Taqwa. FOTO Tular
TANGKAP layar Allahyarham Mustafa ketika bersiaran langsung memberi ceramah kuliah Subuh di Masjid At-Taqwa. FOTO Tular
Omar Ahmad


Johor Bahru: Ketua Penolong Pengarah bahagian Pengurusan Halal Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) Mustafa Omar meninggal dunia selepas selesai memberi ceramah kuliah Subuh di Masjid At-Taqwa, Taman Utama Pulai di sini, pagi tadi.

Pengarah JAINJ Jamaludin A Hamid berkata, Allahyarham dikatakan meninggal pada 9 pagi, dipercayai akibat serangan jantung selepas pulang ke rumah.

"Allahyarham seorang yang baik keperibadiannya, masuk kerja sama dengan saya pada 1997, iaitu 26 tahun berkhidmat.

"Allahyarham seorang yang berilmu. Sebagai Ketua Penolong Pengarah bahagian Pengurusan Halal lebih kurang enam tahun, beliau cukup mahir dalam bidangnya," katanya ketika dihubungi di sini.

Pagi tadi, Allahyarham menyelesaikan tugas memberi ceramah Subuh sempena Sambutan Maal Hijrah di Masjid At-Taqwa yang disiarkan secara langsung menerusi akaun Facebook Masjid itu.

Di akhir ceramahnya, Allahyarham sempat berpesan mengenai kematian dengan menyatakan ia pasti berlaku dan mengingatkan jemaah supaya tidak berbangga dengan harta kerana hanya amal ibadat dapat mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Allahyarham Mustafa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 6, Bakri Muar, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Julai 2023 @ 10:31 PM