KEJADIAN kubur mendap perkara biasa terutama yang baharu kerana struktur tanah yang masih lembut. FOTO Mohd Amin Jalil
KEJADIAN kubur mendap perkara biasa terutama yang baharu kerana struktur tanah yang masih lembut. FOTO Mohd Amin Jalil
Mohd Amin Jalil


Seremban: Banjir kilat yang melanda daerah ini semalam menjejaskan sekurang-kurangnya 20 kubur di Tanah Perkuburan Islam Kariah Masjid At-Taqwa Kampung Paroi di Jalan Seremban-Kuala Pilah, dekat sini.

Penggali kubur, Hazim Zakal, 31, berkata, perkara itu disedarinya pagi semalam ketika memulakan tugas pada 8.30 pagi dan mendapati ada tanah perkuburan yang mendap dan terhakis.

"Saya sudah memaklumkan perkara itu kepada Badan Khairat Masjid At-Taqwa Kampung Paroi untuk tindakan selanjutnya.

"Sejak tengah hari semalam, beberapa individu dipercayai ahli keluarga atau waris tampil membaiki kubur berkenaan dan setakat ini hari ini, masih ada segelintir (waris) yang belum berbuat demikian," katanya ketika ditemui di lokasi berkenaan, hari ini.

Hazim berkata, walaupun pihaknya membantu menimbuskan semula tanah baharu pada kubur yang terjejas, waris juga bertanggungjawab menjaga kubur ahli keluarga masing-masing.

"Kejadian tanah mendap adalah perkara biasa dan apa yang penting setiap waris perlu peka serta ziarah kubur ahli keluarga mereka, terutama selepas hujan lebat," katanya.

Tanah Perkuburan Islam Kariah Masjid At-Taqwa Kampung Paroi itu sudah wujud sejak lebih 60 tahun lalu.

Sejak kebelakangan pengebumian jenazah di situ meningkat berikutan kepadatan penduduk, terutama di Paroi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 November 2020 @ 2:35 PM