MASJID At-Taqwa.
MASJID At-Taqwa.
Mohd Amin Jalil


Seremban: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) menafikan dakwaan pihak tertentu yang mengatakan jemaah solat Jumaat di Masjid At-Taqwa, Paroi, di sini, semalam tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Pengarah JHEAINS, Datuk Mohd Zaidi Ramli berkata, jemaah di masjid berkenaan mematuhi SOP ditetapkan termasuk membawa sejadah besar sendiri, memakai pelitup muka dan mematuhi jarak fizikal yang ditetapkan oleh pihak jawatankuasa sepanjang berada di dalam masjid.

Katanya, solat Jumaat di masjid berkenaan juga dipantau anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), kakitangan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan penguat kuasa JHEAINS.

"Tidak timbul isu bahawa ahli jemaah tidak mematuhi SOP ditetapkan seperti penularan video di laman sosial.

"Saya ingin tegaskan bahawa sepanjang solat itu dilangsungkan ia dipantau oleh anggota polis dan penguat kuasa JHEAINS.

"Hanya satu pintu pagar saja dibuka untuk laluan masuk ke kawasan masjid dan jawatankuasa masjid turut menyediakan tiga khemah di luar kawasan bagi melicinkan proses pendaftaran dan mengimbas suhu badan setiap jemaah," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Semalam, tular video dipercayai dirakam seorang individu bukan Islam mendakwa ahli jemaah solat Jumaat Masjid At-Taqwa tidak mematuhi SOP.

Mohd Zaidi berkata, tiada sebarang pelanggaran SOP dilaporkan oleh pihak berkuasa yang melakukan pemantauan.

Beliau berkata, ahli jemaah juga tidak dibenarkan meletakkan kenderaan dalam kawasan masjid dan susulan itu, terdapat banyak kenderaan kelihatan di bahu jalan.

Menurutnya, kapasiti sebenar Masjid At-Taqwa tanpa mengambil kira penjarakan fizikal ialah seramai 3,000 orang, manakala kapasiti dibenarkan dengan penjarakan fizikal adalah seramai 1,200 orang.

"Bagaimanapun, jemaah yang dilaporkan hadir semalam adalah seramai 900 orang saja.

"Hal ini selaras dengan arahan kerajaan negeri yang membenarkan rumah ibadat dibuka dan bukan untuk upacara keramaian," katanya.

Sehubungan itu, Mohd Zaidi menegaskan umat Islam di Negeri Sembilan perlu terus mematuhi semua SOP yang ditetapkan pihak berkuasa ketika berada dalam kawasan masjid, surau dan ketika bersurai selepas melaksanakan ibadat.

Beliau berkata, tindakan itu penting supaya tidak membuka ruang fitnah kepada umat Islam dan dalam masa sama boleh terus melaksanakan ibadat dengan tenang di samping menghidupkan masjid dan surau.

"Tohmahan sebeginilah yang sepatutnya dielakkan oleh umat Islam bagi menjaga kesucian dan kemurnian agama.

"Setiap individu Muslim hendaklah bersama-sama memikul tanggungjawab untuk menjaga kesucian Islam agar tidak diperlekehkan oleh orang lain.

"JHEAINS tetap konsisten mengambil tindakan tegas terhadap pelanggaran SOP sama ada oleh individu, jemaah atau pihak jawatankuasa masjid," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 January 2021 @ 4:56 PM