NAJIB  bersama jemaah yang lain ketika solat jenazah Allahyarham Zailah di Masjid At-Taqwa, semalam.
NAJIB bersama jemaah yang lain ketika solat jenazah Allahyarham Zailah di Masjid At-Taqwa, semalam.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam menunaikan solat Jumaat dan solat jenazah Allahyarham Zailah Ismail, anak perempuan bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Dr Ismail Abdul Rahman di Masjid At-Taqwa Taman Tun Dr Ismail (TTDI), di sini.

Beliau tiba kira-kira jam 1.20 tengah hari dan disambut oleh anggota keluarga serta jemaah sebelum menunaikan solat sunat dua rakaat, mendengar khutbah dan seterusnya menunaikan solat Jumaat yang dipimpin oleh Imam masjid Mohd Fadlullah Mohd Nor. Najib kemudian menunaikan solat jenazah dan bersama-sama membacakan doa agar roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

Perdana Menteri yang ditemani isteri Datin Seri Rosmah Mansor beredar meninggalkan masjid itu kira-kira jam 2.20 petang.

Sementara itu, Mohd Tawfik Tun Dr Ismail, 66, memberitahu, adiknya itu meninggal dunia kerana kanser di Pusat Perubatan Pakar Damansara pada 4.30 pagi semalam.

Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.

Allahyarham Zailah yang berusia 64 tahun meninggalkan empat orang anak iaitu Tariq Ismail Mustafa, 38, Yassif Nagim, 36, Kamariah Shakirin, 34, dan Ismail Iskandar Wildan, 27.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Julai 2017 @ 6:00 AM