Wan Zawawi Wan Ibrahim
Wan Zawawi Wan Ibrahim

Kuala Lumpur: Ahli akademik, penyanyi dan penulis lirik serta aktivis sosial, Dr Wan Zawawi Wan Ibrahim, 75, meninggal dunia di rumahnya sekitar jam 6.47 pagi ini kerana serangan jantung.

Portal berita Astro Awani melaporkan, isteri Allahyarham, Noorshah Mohd Salleh berkata, suaminya menghembuskan nafas terakhir di rumah mereka di Seksyen 11, Petaling Jaya ketika sedang bersiap untuk menunaikan solat Subuh.

Menurutnya, pemergian suaminya secara tiba-tiba memang tidak disangka kerana baru semalam mereka berdua berbual-bual dan bercerita mengenai hasrat Allahyarham untuk meneruskan rawatan susulan sakit jantung.

"Baru semalam kami menonton televisyen bersama dan kami berbincang untuk membawa arwah menjalani rawatan susulan jantung. Namun, saya reda dan percaya bahawa ajal arwah sudah sampai," katanya.

Menurutnya, jenazah Allahyarham suaminya dibawa ke Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail untuk dimandi dan dikafankan.

Jenazah Allahyarham Wan Zawawi dijangka dikebumikan selepas solat Zuhur di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.

Allahyarham adalah pencipta dan penulis lirik lagu Perjalanan Hidup yang dipopularkan oleh Datuk Ramli Sarip.

Dr Wan Zawawi juga pernah menghasilkan beberapa album antaranya album Dayung (menampilkan Mak Minah) dan Anak Dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mei 2022 @ 1:06 PM