MUHAMMAD Sanusi disambut penyokong ketika tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Alor Setar hari ini. FOTO Syaharim Abidin
MUHAMMAD Sanusi disambut penyokong ketika tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Alor Setar hari ini. FOTO Syaharim Abidin
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi bersedia untuk terus mara mempertahankan Kedah termasuk memastikan lima negeri lain yang bakal menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dilepaskan daripada pemerintahan yang beliau sifatkan sebagai kerajaan 'lemah'.

Sanusi ketika berucap di hadapan penyokongnya di pekarangan kediaman rasmi Menteri Besar petang ini menyifatkan pimpinan Kerajaan Perpaduan kini sanggup berbuat apa sahaja untuk menyekat kemaraan Perikatan Nasional (PN).

"Alhamdulillah kita melepasi ujian yang agak mencabar, dia tak tau nak buat apa dah jadi dia guna apa yang ada untuk menyekat kemaraan kita.

"Sekarang ini kita dipopularkan dengan istilah 'kakistokrasi' iaitu sebuah kerajaan yang ditadbir orang lemah yang tidak berkemampuan untuk mentadbir yang pandai bercakap tapi tak pandai buat.

"Kalau dia tak jadi Perdana Menteri kita pun tak tau yang yang dia dok gelembong (tipu) saja, dan hari ini Allah nak tunjuk, dia nak pertahan gelembong dia, dia guna akta drakonian untuk mengenakan kita.

"(Jadi) saya berkongsi sokongan dan kekuatan tuan-tuan (penyokong) kepada saya untuk terus mara dan pertahankan Kedah dan kita pastikan enam negeri ini dilepaskan daripada kakistokrasi," katanya.

Terdahulu, Muhammad Sanusi tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) di sini, pada 4.30 petang ini.

Ketibaan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jeneri itu disambut lebih 1,000 penyokong PN yang berkumpul di Balai Ketibaan LTSAH seawal 3 petang.

Muhammad Sanusi berkata, beliau berharap rakyat Kedah sentiasa menjaga disiplin untuk keluar mengundi pada 12 Ogos ini selain setia menyokong PN.

Pagi tadi, Muhammad Sanusi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Selayang atas pertuduhan mengeluarkan kata-kata menghasut berhubung isu penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik, minggu lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Beliau turut berhadapan satu lagi pendakwaan di Mahkamah Sesyen Selayang, atas pertuduhan mengeluarkan kata-kata menghasut berhubung isu penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik, minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Julai 2023 @ 7:38 PM