Lokasi bot karam iaitu kira-kira 0.3 batu nautika dari Tenggara Pulau Timbun Mata. FOTO Ihsan APMM.
Lokasi bot karam iaitu kira-kira 0.3 batu nautika dari Tenggara Pulau Timbun Mata. FOTO Ihsan APMM.
Abdul Rahemang Taiming


Semporna: Polis membuka kertas siasatan berhubung tragedi bot karam yang mengorbankan lima nyawa di perairan Kampung Tandoan dekat Pulau Timbuan Mata, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Semporna Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, siasatan dibuat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian dengan cuai.

"Pihak polis akan menjalankan siasatan menyeluruh dari segenap aspek termasuk sama ada bot yang digunakan melebihi kapasiti yang dibenarkan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Farhan berkata, bot itu dinaiki seramai 21 penumpang yang juga penduduk tempatan, berumur antara satu hingga 65 tahun, dikatakan dalam perjalanan dari Kampung Bakung-Bakung menuju ke Kampuang Tandoan sebelum karam.

Katanya, susulan kejadian lima mangsa iaitu dua perempuan dewasa, dua kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan berumur dua hingga 40 tahun ditemui lemas.

"Seramai 14 lagi mangsa berjaya diselamatkan oleh penduduk kampung, manakala dua lagi masih hilang iaitu kanak-kanak lelaki tujuh tahun dan remaja perempuan 14 tahun.

"Kesemua mangsa yang meninggal dunia dihantar ke Hospital Semporna untuk tindakan lanjut," katanya yang memberitahu operasi SAR membabitkan pelbagai agensi masih berjalan.

Dalam pada itu, Mohd Farhan mengingatkan pengusaha dan pengendali bot penumpang serta penduduk setempat supaya mengutamakan keselamatan dengan mengikut kapasiti bot ditetapkan selain memakai jaket keselamatan.

Sebarang maklumat berkaitan kes itu boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Semporna, Inspektor Khadijah di talian 019-8718002 atau menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.

Berita berkaitan

Bot karam: 5 lemas, 2 lagi hilang

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 April 2022 @ 4:17 PM