PELAJAR yang diperiksa dalam Op Didik Khas di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, hari ini.
PELAJAR yang diperiksa dalam Op Didik Khas di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, hari ini.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Sepang: Tindakan sekumpulan pelajar membuat bising dan tidak memakai topi keledar di Arena Bandar Baru Salak Tinggi (BBST) di sini, mengundang padah apabila mereka disaman polis menerusi Op Didik Khas, hari ini.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, pihaknya menerima aduan awam berhubung sekumpulan pelajar yang berkumpul dan mengganggu ketenteraman awam.

"Susulan itu, pada 11.35 pagi, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuaaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang menjalankan operasi berkenaan.

"Polis melakukan pemeriksaan terhadap sekumpulan pelajar sedang berkumpul serta menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan, 12 motosikal dibawa ke IPD Sepang atas pelbagai kesalahan dan sebanyak 21 saman dikeluarkan.

"Polis turut bertemu dengan ibu bapa dan penjaga pesalah lalu lintas berkenaan dan mengambil keterangan.

"Kita menasihati ibu bapa pelajar supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas demi keselamatan mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Julai 2023 @ 8:54 PM