SIMPTOM seperti sakit kepala, pening, keletihan boleh berlaku apabila tekanan darah sangat tinggi. - FOTO Google
SIMPTOM seperti sakit kepala, pening, keletihan boleh berlaku apabila tekanan darah sangat tinggi. - FOTO Google
Fairul Asmaini Mohd Pilus


PERSEPSI bahawa tekanan darah tinggi hanya dialami mereka yang berusia perlu diubah kerana ketika ini semakin ramai golongan muda menderita penyakit itu.

  Hipertensi atau tekanan darah tinggi tidak boleh dipandang remeh kerana ia adalah risiko kepada penyakit jantung, angin ahmar, masalah buah pinggang dan pembuluh darah.  

  Mengikut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019 (TKKM 2019), masalah darah tinggi dalam kalangan orang dewasa muda (antara 18 hingga 24 tahun) di Malaysia kebanyakannya disebabkan obesiti.

  Pakar Hematologi dan Perubatan Dalaman Pantai Hospital Ayer Keroh, Dr Guan Yong Khee berkata, hipertensi dalam kalangan golongan muda juga disebabkan pelbagai masalah kesihatan lain (Secondary Hypertension).

  Antaranya disebabkan penyakit buah pinggang, penggunaan ubat-ubat tertentu (pil perancang, steroid, ubat tahan sakit NSAIDs), masalah hormon tertentu (Primary aldosteronism, Cushing syndrome, Phaeochromocytoma, Acromegaly), masalah jantung kongenital (Coarctation of Aorta) dan sebagainya.

 "Seseorang itu dikatakan menghidap hipertensi apabila tekanan darah rehat (resting blood pressure) didapati melebihi 140/90mmHg (bacaan angka hadapan adalah bacaan tekanan darah sistolik manakala bacaan angka belakang adalah tekanan darah diastolik) pada sekurang-kurangnya dua masa yang berlainan. 

  "Jika tekanan darah terlalu tinggi (misalnya sistolik >180mmHg dan/atau diastolik >110mmHg), seseorang itu dikatakan ada hipertensi kategori teruk (severe hypertension) dan perlu dimulakan dengan rawatan ubat secepat mungkin.

  "Ia juga digelar sebagai pembunuh senyap kerana kebanyakan masa hipertensi tiada tanda atau gejala, " katanya kepada Harian Metro.

  Menurut Dr Guan, hipertensi peringkat satu adalah hipertensi yang ringan di mana kebanyakan masanya tekanan darah jatuh dalam lingkungan sistolik 140 hingga 159 mmHg dan/atau diastolik 90 hingga 99mmHg.

  Hipertensi peringkat dua pula adalah hipertensi yang sederhana di mana kebanyakan masanya tekanan darah jatuh dalam lingkungan sistolik 160 hingga 179mmHg dan/atau diastolik 100 hingga 109mmHg. 

PERSEPSI bahawa tekanan darah tinggi hanya dialami oleh mereka yang berusia perlu diubah kerana ketika ini semakin ramai golongan muda menderita penyakit itu. - FOTO Google
PERSEPSI bahawa tekanan darah tinggi hanya dialami oleh mereka yang berusia perlu diubah kerana ketika ini semakin ramai golongan muda menderita penyakit itu. - FOTO Google

  "Untuk pesakit hipertensi peringkat satu yang tidak mempunyai penyakit serius lain dan berisiko rendah, cara rawatan biasanya tidak membabitkan ubat-ubatan tetapi lebih kepada perubahan cara hidup.

  "Ia termasuklah amalan bersenam yang kerap dan secukupnya, mengurangkan berat badan, mengurangkan kandungan garam sodium dalam makanan, mengurangkan pengambilan minuman alkohol dan berhenti merokok," katanya.

  Mengulas lanjut, Dr Guan berkata, berdasarkan Panduan Amalan Klinikal Hipertensi Malaysia Edisi ke-5 (tahun 2018) yang diterbitkan Kementerian Kesihatan Malaysia, hanya 40 peratus daripada pesakit hipertensi dikesan dan dirawat.

  Ia bermaksud untuk setiap dua pesakit hipertensi yang dikesan, terdapat tiga lagi pesakit hipertensi yang tidak dikesan.

  "Kadang-kala tanda-tanda seperti sakit kepala, pening, keletihan boleh berlaku apabila tekanan darah sangat tinggi.

  "Segelintir kecil pesakit hanya menyedari diri sendiri menghidap hipertensi apabila mengalami kerosakan organ-organ dalaman seperti lemah jantung, serangan jantung, angin ahmar atau strok, kerosakan buah pinggang dan sebagainya," katanya .

  Dalam pada itu, disebabkan kebanyakan pesakit hipertensi tiada simptom, setiap petugas perubatan digalakkan untuk mengukur tekanan darah pesakit pada setiap kali rawatan di klinik atau hospital.

  Kata Dr Guan, antara simptom bahaya apabila tekanan darah sangat tinggi termasuk tanda-tanda kerosakan organ dalaman.

  "Ia termasuk tanda-tanda seperti sakit dada dalam kes serangan jantung, sesak nafas dan batuk apabila baring terlentang dalam kes kelemahan jantung, bengkak kaki dan badan dalam kes kerosakan buah pinggang, sakit kepala, muntah, kelemahan anggota separuh badan dalam kes strok dan sebagainya," katanya.

  Jelas beliau lagi,  golongan yang berisiko tinggi mendapat hipertensi termasuklah golongan berumur, individu yang mengalami masalah obesiti, kurang melakukan aktiviti fizikal, tabiat meminum arak, merokok, kandungan diet yang tinggi garam sodium, kehidupan yang sering berada dalam tekanan dan sebagainya. 

BERSENAM secara konsisten dapat membantu menurunkan tekanan darah. - FOTO Google
BERSENAM secara konsisten dapat membantu menurunkan tekanan darah. - FOTO Google

  Manakala hipertensi dalam kalangan golongan muda dipengaruhi keadaan kesihatan, genetik dan gaya hidup.

  Katanya, berat badan dan BMI yang tinggi, sejarah hipertensi dalam kalangan ibu bapa atau ahli keluarga lain, gaya hidup yang kurang aktiviti fizikal, tabiat merokok dan minum arak misalnya, berisiko menyebabkan hipertensi dalam kalangan golongan muda.

  Justeru, adalah sangat penting untuk mengamalkan cara hidup yang sihat dan antara cara paling berkesan untuk mengurangkan tekanan darah tinggi adalah dengan bersenam.

  "Senaman secara sederhana yang mencukupi (sekurang-kurangnya 150 minit setiap minggu atau sekurang-kurangnya 30 minit untuk lima hari dalam seminggu) terbukti boleh mengurangkan tekanan darah.

  "Untuk mereka yang mengalami masalah lebihan berat badan pula, pengurangan setiap satu kilogram berat badan boleh mengurangkan tekanan darah sebanyak 1mmHg," katanya.

  Selain itu, amalan pengambilan makanan yang sihat juga akan dapat membantu mengurangkan tekanan darah.

  Dengan mengurangkan garam sodium (dari 11.6g garam sehari ke 3.8g sehari) dalam makanan, seseorang itu akan dapat mengurangkan tekanan darah sebanyak 7.8mmHg.  

  Kata Dr Guan, berhenti merokok dan minum arak juga dapat membantu mengurangkan tekanan darah.

  "Orang ramai juga perlu mengurangkan tekanan yang dihadapi harian dengan melakukan terapi yang menenangkan seperti senaman yoga dan teknik menangani stress bagi membantu menurunkan tekanan darah.

  "Namun, jika tiada perkembangan positif selepas melakukan semua langkah-langkah itu, kebanyakan doktor biasanya akan mengesyorkan untuk memulakan rawatan ubat-ubatan khas bagi menurunkan tekanan darah mengikut situasi dan keadaan setiap pesakit ," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 September 2022 @ 7:00 AM