Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Oleh Irwan Shafrizan Ismail


Putrajaya: Tidak timbul isu sukar dalam menentu dan menyelesaikan pertindihan kerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) sebaliknya ia sudah hampir dimuktamadkan.

Setiausaha Agung PH Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata penentuan dan pertindihan kerusi itu sudah pun dibincangkan pada Mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan, malam tadi.

Beliau berkata, daripada 246 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) bagi enam negeri itu, kini hanya dua atau tiga kerusi yang masih status bertindih.

"Apa yang susahnya, semalam sudah bincang. Daripada 246 kerusi, kini hanya tinggal dua atau tiga sahaja, Kalau susah, masih 240 lagi kerusi belum selesai.

"Saya tidak dapat dedahkan kerusi yang masih bertindih itu kerana ia dibincangkan antara Pengerusi PH dan BN. Saya pun tidak sempat tanya lagi," katanya.

Ditanya bila senarai nama penuh calon PH akan diumumkan, Saifuddin berkata, beliau belum menerima apa-apa arahan daripada Pengerusi PH.

"Selaku Setiausaha Agung, saya belum diberi makluman. Dalam soal nak mengisi nama dalam surat watikah itu, ia akan dimaklumkan Pengerusi PH dalam masa terdekat dan yang penting sebelum 29 Julai ini," katanya.

Malam tadi, Pengerusi BN yang juga Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid Hamidi memaklumkan BN akan mengumumkan senarai calon yang akan bertanding pada PRN di enam negeri pada 21 Julai ini.

Sementara itu, ditanya dakwaan bahawa MCA dan MIC tidak akan menyokong calon PH, Saifuddin bagaimanapun enggan mengulas perkara itu.

"Itu territory (bidang) BN, saya tidak mahu komen apa-apa. Kerjasama kita (PH-BN) adalah Kerajaan Perpaduan," katanya.

Sebelum ini, timbul dakwaan MCA dan MIC mengambil keputusan tidak akan berkempen bagi calon PH, setelah kedua-dua parti itu dikatakan tidak dilayan secara adil dalam isu rundingan kerusi.

Pada 5 Julai lalu, MCA dan MIC memutuskan untuk tidak menyertai PRN dan kerusi yang diperuntukkan kepada dua parti itu kemudian diserahkan kembali kepada BN.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Julai 2023 @ 4:25 PM