GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Polis Kelantan menahan dua lelaki termasuk seorang warga Thailand dan merampas 30,000 biji pil yaba dalam sebuah kereta di hadapan sebuah kedai makan Kampung Padang Licin Gual Periuk, dekat Rantau Panjang, semalam.

Lelaki warga Thailand dan tempatan masing-masing berusia 24 dan 37 tahun ditahan dalam operasi sepasukan pegawai bersama anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, pada 8.15 malam.

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata sebelum ditahan dua lelaki itu cuba melarikan diri sebelum mereka berjaya dicekup.

Katanya, pihak polis sebelum itu ternampak sebuah kereta Perodua Myvi warna putih dalam keadaan mencurigakan berada di tepi jalan.

"Menyedari kehadiran pihak polis, kedua-dua lelaki yang berada dalam kereta cuba melarikan diri, namun berjaya ditahan selepas berlaku pergelutan.

"Hasil pemeriksaan lanjut dalam kereta menemui satu bungkusan plastik warna hitam mengandungi 30,000 biji pil yaba dengan nilai RM300,000," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hasil ujian saringan awal mendapati lelaki Thailand positif dadah jenis Methamphetamine, dan semakan mendapati lelaki tempatan mempunyai tiga rekod jenayah lampau.

Muhamad Zaki berkata, pihak polis turut menyita sebuah motosikal Honda Wave dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15 (1)(a) ADB 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Julai 2023 @ 10:35 PM