Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Seramai 412 orang termasuk remaja lelaki berusia 16 tahun ditahan dalam Ops Tapis Bersepadu yang diadakan selama seminggu hingga semalam.

Mereka ditahan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 (ADB) dan Akta Racun 1952.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, 344 kes disiasat dengan rampasan dadah RM870,000 dan lebih RM44,000 harta disita.

"Daripada 412 orang yang ditahan itu, 396 adalah warga tempatan dan 16 warga asing. Jumlah dadah yang dirampas boleh digunakan 77,909 penagih," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.

Muhamad Zaki berkata, lima kes disiasat mengikut Seksyen 39B ADB, dengan kes pertama menahan tiga berusia 20 dan 27 tahun di tepi Jalan Kubur Surau Mukim Jal Kechik, Tumpat pada 10 malam, 4 September lalu.

Katanya, sejumlah 30,006 biji pil yaba bernilai lebih RM330,000 ditemui dan polis turut menyita dua motosikal Yamaha Y15 dianggarkan RM16,000 selain kereta.

MUHAMAD Zaki menunjukkan dadah yang dirampas sepanjang Ops Tapis Bersepadu yang dijalankan selama seminggu hingga semalam di seluruh Kelantan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
MUHAMAD Zaki menunjukkan dadah yang dirampas sepanjang Ops Tapis Bersepadu yang dijalankan selama seminggu hingga semalam di seluruh Kelantan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.

"Kes kedua pada 6.45 petang, 9 September lalu menahan lelaki yang juga penganggur berusia 28 tahun di atas motosikal Yamaha Y15ZR di tepi jalan Perumahan JPN Batu 11, Tanah Merah, bersama 36,000 pil yaba bernilai RM396,000.

"Kes ketiga, seorang lelaki berusia 25 tahun ditahan ketika berada di tepi jalan di Kampung Gual Kulim, Pasir Mas jam 1.20 pagi, 10 September lalu dan polis berjaya merampas 2,800 biji pil yaba bernilai RM30,800.

"Kita juga berjaya menahan empat lelaki masing-masing dalam dua serbuan berasingan di Jalan Kampung Jal Kechik, Tumpat dan Jalan Sentosa Felda Chiku, dekat Gua Musang pada 10 September lalu," katanya.

Menurutnya, serbuan itu merampas lebih RM18,000 dadah iaitu 1,100 biji pil yaba, 46.78 g heroin, 38.63 g ganja dan 21.22 g syabu.

Beliau berkata, PDRM Kelantan khususnya Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) akan terus berusaha membanteras aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah di negeri ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 September 2023 @ 5:34 PM