GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Polis Kelantan merampas 30,000 biji pil kuda dianggarkan bernilai RM330,000 dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Binjal, Chabang Empat, Tumpat, dekat sini, malam tadi.

Ia susulan penahanan tiga lelaki berusia antara 20 hingga 27 tahun di dalam kereta Perodua Myvi di Kampung Jal Kechil, Tumpat, jam 10 malam.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, penahanan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan.

"Pemeriksaan menemui satu paket plastik mengandungi enam biji pil kuda, pasukan kemudian dibawa ke sebuah rumah di Kampung Binjal Chabang Empat.

"Hasil pemeriksaan lanjut di ruang tamu menemui lima bungkusan kertas kekuningan mengandungi 30,000 biji pil kuda menjadikan jumlah kesemua dadah itu 30,006 dengan anggaran nilai RM330,066," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Muhamad Zaki berkata, ujian saringan yang dibuat mendapati dua daripada suspek positif dadah jenis methamphetamine.

Katanya, dua motosikal Yamaha Y15 dianggarkan bernilai RM16,000 turut disita di bawah Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988.

"Semua suspek ditahan reman selama seminggu bermula hari ini sehingga 11 September untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 12(2) ADB 1952," katanya.

Dalam perkembangan sama, Muhamad Zaki berkata, sempena Op Tapis Bersepadu yang dijalankan di seluruh negeri bermula 20 Ogos sehingga semalam, seramai 602 individu berusia antara 16 hingga 63 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan.

Beliau berkata, pelbagai jenis termasuk pil kuda, ganja, syabu dan air ketum dianggarkan bernilai RM521,497.76 dirampas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 September 2023 @ 9:05 PM