Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Dua lelaki yang baru berjinak-jinak sebagai pengedar dadah ditahan dalam Op Tapis Bersepadu di hadapan sebuah kedai di Jalan Rantau Panjang, di sini, kelmarin.

Suspek berusia 26 tahun dan rakannya warga Thailand berusia 27 tahun yang juga penganggur ditahan ketika mereka berada di atas skuter Honda Vario pada 4.15 pagi.

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, sepasukan anggpta polis yang melakukan operasi mengesan dua lelaki berada di atas sebuah skuter dan pemeriksaan lanjut menemukan satu plastik yang tergantung di kenderaan itu.

"Hasil pemeriksaan dalam plastik menemukan empat bungkus plastik mengandungi 18,000 biji pil yaba dengan nilai dianggarkan RM180,000 yang boleh digunakan seramai 18,000 penagih dadah.

"Dadah ini dibawa masuk dari negara jiran melalui jalan tikus untuk pasaran di Kelantan, Lembah Klang dan negeri terdekat," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini, hari ini.

Muhamad Zaki berkata, siasatan awal mendapati suspek baru berjinak-jinak sebagai pengedar dadah dan mereka juga disyaki sebagai ahli sindiket penyeludupan dadah yang aktif di sempadan.

"Polis masih menjalankan siasatan sama ada mereka ini ada hubung kait dengan sindiket penyeludupan antarabangsa.

"Mereka direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 16 April ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Muhamad Zaki berkata, sebanyak 439 tangkapan dibuat atas pelbagai kesalahan mengikut ADB 1952 dan Akta Racun (AR) 1952 dalam operasi bermula 2 April hingga kelmarin.

Menurutnya, tangkapan itu membabitkan individu berusia 20-an hingga 50-an dan pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM335,000 dirampas.

"Bagi mengekang masalah ini, kita mengadakan kolaborasi dengan pihak polis Thailand kerana ia adalah satu perkembangan yang perlu dilihat secara serius," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 April 2023 @ 2:48 PM
RAMPASAN 18,000 pil yaba dengan nilai keseluruhan RM180,000 dalam operasi di hadapan sebuah kedai di Jalan Rantau Panjang di sini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
RAMPASAN 18,000 pil yaba dengan nilai keseluruhan RM180,000 dalam operasi di hadapan sebuah kedai di Jalan Rantau Panjang di sini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar