DUA butir bom mortar tidak aktif dijumpai dalam sebuah rumah tidak berpenghuni di Taman RPA Mata Ayer, Arau. FOTO ihsan PDRM
DUA butir bom mortar tidak aktif dijumpai dalam sebuah rumah tidak berpenghuni di Taman RPA Mata Ayer, Arau. FOTO ihsan PDRM
Aizat Sharif


Arau: Pekerja pembersihan menerima kejutan apabila menemukan dua butir bom mortar ketika membersihkan sebuah rumah tidak berpenghuni di Taman Rancangan Perumahan Awam (RPA) Mata Ayer, di sini, semalam.

Dalam kejadian pada 7 malam, kedua-dua bom berkenaan ditemui di bawah sebuah katil dalam bilik rumah pesara tentera yang meninggal dunia pada 2013 lalu.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, pekerja berkenaan kemudian mengalihkan bom itu dengan meletakkannya di kawasan lapang berhampiran Dewan Orang Ramai taman perumahan itu.

"Dia kemudian bertindak menghubungi polis memaklumkan berkaitan penemuan bom mortar berkenaan sebelum anggota Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Perlis bergegas ke lokasi kejadian.

"Hasil pemeriksaan mendapati bom mortar 81mm Illuminating iaitu 'Practice Inert Bomb' atau dummy yang digunakan untuk latihan berada dalam keadaan berkarat dan sudah tidak aktif lagi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, rumah berkenaan sudah tidak dihuni dan warisnya mengarahkan sebuah syarikat untuk membersihkan rumah berkenaan disebabkan kediaman itu akan dijual.

Katanya, tiada sebarang ancaman keselamatan dikesan dan kerja pemusnahan bom mortar itu akan dilaksanakan, lewat petang ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Julai 2023 @ 3:03 PM