BOM mortar lama ditemui peneroka di kebun kelapa sawit di FELDA Serting Hilir Dua, Jempol, semalam. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
BOM mortar lama ditemui peneroka di kebun kelapa sawit di FELDA Serting Hilir Dua, Jempol, semalam. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Abnor Hamizam Abd Manap


KEASYIKAN seorang peneroka memotong rumput di kebun kelapa sawit di Felda Serting Hilir 2, Jempol, terbantut sebaik menemui sebuah bom mortar pada 11 pagi semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Jempol, Deputi Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, peneroka itu kemudian menghubungi polis pada 12.35 tengah hari.

Beliau berkata, sepasukan anggota Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan dipanggil bagi memusnahkan bom berkenaan.

“Ia dipercayai jenis mortar 81mm dengan panjang 37 sentimeter, namun tidak dapat dipastikan sama ada pernah digunakan pada Perang Dunia Kedua atau sebaliknya.

“Bom berkenaan dipercayai masih aktif dan dimusnahkan di lokasi kejadian pada 4.27 petang,” katanya.

Mohd Hafiz turut meminta orang ramai menghubungi pihak polis sekiranya menemui objek termasuk bom bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 January 2020 @ 12:28 PM