BOM berkenaan. FOTO Ihsan PDRM
BOM berkenaan. FOTO Ihsan PDRM
Nurul Hidayah Bahaudin


SUAMI isteri dikejutkan dengan penemuan dua objek menyerupai bom mortar ketika membersihkan rumah sewa mereka di Taman Selayang Jaya, di Selayang, Gombak, semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu daripada pasangan berkenaan, jam 8.40 malam.

"Penyewa rumah berkenaan yang berusia 36 tahun bersama isterinya, 33, memaklumkan mereka baru dua hari menyewa rumah itu dan menemui objek terbabit semasa membersihkan rumah.

"Kami sudah mengambil keterangan pemilik asal rumah itu yang menjualnya kepada pemilik baharu pada tiga tahun lalu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Arifai berkata, berdasarkan keterangan mereka, pihaknya mendapati objek itu adalah kepunyaan pemilik asal rumah berkenaan yang gemar mengumpul barangan antik.

"Hasil siasatan, Unit Pemusnah Bom (UPB) Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang tiba di lokasi mendapati dua objek itu adalah jenis mortar latihan dan tidak aktif.

"Pihak UPB juga mengesahkan kawasan berkenaan (sekitar rumah itu) selamat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mei 2020 @ 8:27 AM