Rosli Ilham

Kemaman: Suspek yang mengejar kereta ibu mentuanya sehingga melanggar seorang anggota polis wanita. berjaya ditangkap kira-kira 18 kilometer dari Jalan Dato dekat Chukai, di sini, hampir tiga jam kemudian.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, suspek yang berusia 50 tahun itu ditahan di Ibok, di sini, kira-kira 2.15 petang tadi.

Menurutnya, terdahulu, polis melancarkan gerakan memburu suspek dan hasil maklumat awam lelaki berkenaan berjaya ditahan untuk siasatan.

"Suspek gagal melarikan diri lebih jauh selepas kereta Proton Saga yang dipandunya mengalami kerosakan dan tersadai di tepi jalan.

"Polis kemudian menahan suspek sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman untuk siasatan lanjut," katanya.

HANYAN (kanan) melihat keadaan kereta yang dirosakkan suspek. Foto Rosli Ilham
HANYAN (kanan) melihat keadaan kereta yang dirosakkan suspek. Foto Rosli Ilham

Hanyan berkata, sebelum itu suspek dikatakan bertindak berang dengan memukul bahagian depan kereta Perodua Axia milik ibu mentuanya ketika mereka bertengkar.

"Siasatan awal mendapati punca kejadian dipercayai akibat perebutan harta. Malah, hasil saringan ujian air kencing mendapati suspek negatif dadah dan lelaki itu juga tidak mempunyai rekod jenayah," katanya.

Terdahulu, portal berita Harian Metro melaporkan anggota polis wanita patah tangan kiri selepas dilanggar pemandu lelaki yang sedang mengejar kereta dipandu ibu mentuanya kira-kira 11.30 pagi tadi.

Hanyan berkata, sebelum kejadian, suspek dikatakan bertengkar dengan mentuanya berusia 69 tahun dan memukul kereta wanita itu.

Katanya, ibu mentua suspek kemudian melarikan diri dengan memandu kereta dan dikejar suspek sebelum keretanya bertembung dengan motosikal ditunggang anggota polis terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 April 2023 @ 5:26 PM