KING Sing disiasat mengikut KEP berkaitan kekecohan di KLIA Khamis lalu. FOTO NSTP & tular
KING Sing disiasat mengikut KEP berkaitan kekecohan di KLIA Khamis lalu. FOTO NSTP & tular
Nor Azizah Mokhtar


Kuala Lumpur: Polis sedang menjalankan siasatan mengikut Kertas Enkuiri Polis (KEP) berkaitan kekecohan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) membabitkan Menteri Pelancongan, Khamis lalu.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan polis pada masa ini ada adalah untuk menentusah wujud sebarang kesalahan oleh mana-mana pihak yang terbabit dalam insiden itu.

"Buat masa ini, siasatan polis dijalankan mengikut KEP dan mengikut KEP, polis mempunyai kuasa untuk memanggil mana-mana pihak untuk diambil keterangan.

"Pada peringkat ini, kita sedang mengenal pasti identiti individu atau pihak yang akan kita panggil untuk diambil keterangan sebelum tindakan lanjut diambil," katanya kepada BH, hari ini.

Dalam pada itu, Hussein memaklumkan setakat ini, polis hanya menerima satu laporan polis berhubung dakwaan 'pencerobohan' dilakukan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing itu.

Laporan itu dibuat orang awam yang meminta siasatan dijalankan ke atas menteri berkenaan.

Harian Metro sebelum ini melaporkan berita tular di media sosial seorang menteri didakwa menceroboh masuk ke balai ketibaan antarabangsa KLIA bagi membebaskan seorang pelawat China yang ditahan Jabatan Imigresen.

King Sing yang mengakui menteri dimaksudkan itu dirinya, menafikan dakwaan bahawa beliau cuba melepaskan pelawat berkenaan.

Menerusi kenyataan media, beliau mempersoal siapa sebenarnya menyalah guna kuasa dalam kejadian itu, sama ada beliau atau pun pegawai Imigresen bertugas, selain mendedahkan kehadirannya ke KLIA itu membongkar budaya rasuah dalam kalangan pegawai di pintu masuk negara itu.

Berikutan itu, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh, dalam kenyataan, kelmarin memaklumkan Jabatan Imigresen menjalankan siasatan serta merta selepas insiden itu dilaporkan pihak media.

Sementara itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang bertanggungjawab terhadap Jabatan Imigresen pula menunggu laporan penuh insiden kekecohan terbabit sebelum memutuskan langkah selanjutnya.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki pula memaklumkan, agensi itu akan membuka siasatan berhubung dakwaan rasuah yang berlaku di balai ketibaan KLIA dan akan mendapatkan maklumat berhubung perkara itu dalam tempoh terdekat.

Berita berkaitan:

Menteri akui terbabit insiden kekecohan, dakwa bongkar rasuah di KLIA

JIM siasat laporan menteri buat 'kecoh' di KLIA

Polis belum terima laporan kekecohan di KLIA

Cuepacs gesa kerajaan, pihak berkuasa siasat kes menteri buat kecoh di KLIA

Pemuda Umno desak Anwar pecat menteri buat 'kecoh' di KLIA

Menteri buat 'kecoh', tuntut bebaskan pelawat China ditahan di KLIA

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Julai 2023 @ 2:12 PM