PIHAK LUAS melakukan kerja mengawal dan mencegah sisa kebakaran bagi tujuan nyah bau. FOTO Ihsan LUAS
PIHAK LUAS melakukan kerja mengawal dan mencegah sisa kebakaran bagi tujuan nyah bau. FOTO Ihsan LUAS
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) masih meneruskan kawalan dan pemantauan di lokasi beberapa kilang di Pusat Perindustrian Budiman, Kajang, yang terbakar semalam bagi memastikan aliran sisa kebakaran dapat dikawal sepenuhnya.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Hee Loy Sian berkata, kebakaran kira-kira 10 premis itu menyebabkan sisa kebakaran memasuki saliran perparitan seterusnya ke Sungai Langat.

Hee berkata, siasatan mendapati anggaran jarak insiden terbabit ke loji rawatan air (LRA) terhampir iaitu LRA Batu 11, Cheras adalah 400 meter.

"Pensampelan LUAS di Sungai Langat juga mengesan bau sebanyak dua ton dan pihak Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) dimaklumkan segera.

"Penyaluran air mentah ke muka sauk LRA Batu 11, Cheras terpaksa ditutup selama tiga jam bermula 3 petang semalam untuk pencegahan impak yang lebih teruk kepada operasi loji.

"Hasil pencegahan segera ini, penyaluran air mentah ke LRA berkenaan dengan kapasiti 27 juta liter sehari (JLH) dan kemampuan bekalan kepada anggaran 8,779 akaun di sekitar 30 kawasan Cheras dan Balakong dapat beroperasi semula pada 6 petang setelah bacaan bau 0 ton direkodkan 3 kali berturut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, tindakan pencegahan dilaksanakan dengan menyekat dan menakung aliran persekitaran itu menggunakan 13 beg Activated Carbon (AC) di dalam 'sump' bagi tujuan nyah bau sebelum aliran mengalir sehingga ke Sungai Langat.

Katanya, LUAS juga melantik kontraktor panel untuk segera melaksanakan kerja kawalan persekitaran dan penyedutan air sisa pemadaman di longkang sekitar kawasan kebakaran.

"Kerja-kerja berkenaan siap sepenuhnya pada 10.30 malam tadi.

"Pada masa sama, pemantauan dan pensampelan LUAS pada kekerapan setiap 30 minit di beberapa lokasi berpotensi di Sungai Langat termasuk pemantauan statik di jambatan Teras Jernang juga sedang giat dilaksanakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Julai 2023 @ 6:08 PM