Sisa minyak yang dikesan di muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Cheras Batu 11 pada jam 10.45 pagi semalam dipercayai dari premis yang menjalankan aktiviti kuari. Ihsan FB LUAS
Sisa minyak yang dikesan di muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Cheras Batu 11 pada jam 10.45 pagi semalam dipercayai dari premis yang menjalankan aktiviti kuari. Ihsan FB LUAS
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Sisa minyak yang dikesan di muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Cheras, Batu 11, pada 10.45 pagi semalam, dipercayai dari premis yang menjalankan aktiviti kuari.

Bagaimanapun, tiada gangguan bekalan air dilaporkan oleh Air Selangor.

Lembaga Urus Air Selangor (Luas) dalam kenyataan memaklumkan, selepas menerima laporan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), pihaknya segera melakukan pemantauan di lokasi.

Katanya, pemantauan mendapati sisa minyak itu memasuki Sungai Langat melalui sebuah pembentung pada jarak 123 meter (m) dari muka sauk LRA berkenaan.

"Luas bersama Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) segera melaksanakan siasatan ke atas lapan premis berhampiran sebelum mengenal pasti punca aliran minyak itu daripada sebuah premis aktiviti kuari.

"Sisa berkenaan mengalir masuk melalui pembentung bawah tanah ke saliran bersebelahan premis kilang kayu dan akhirnya ke Sungai Langat.

"Semakan Luas di premis aktiviti kuari itu juga menemukan aliran kesan dan bau minyak yang kuat dengan anggaran jarak daripada lokasi penemuan punca aliran berminyak ke muka sauk LRA adalah sekitar 366 m," kata LUAS dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Luas, pensampelan di beberapa lokasi berkaitan dilaksanakan pihaknya dan sampel itu sudah dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia (JKM) untuk analisis bagi tindakan penguatkuasaan.

Jelas agensi itu lagi, tindakan segera dengan kawalan bagi menyekat aliran berminyak itu.

Menurut kenyataan itu lagi, Luas sudah mengarahkan kontraktor dilantik untuk melaksanakan kerja-kerja pembersihan dan penyedutan sisa minyak dengan segera bagi memastikan tiada lagi baki aliran tercemar masuk ke dalam sungai.

Katanya, pensampelan ujian bau kemudian menunjukkan bacaan sifar ton dan keadaan air sungai kembali normal.

"Siasatan dan tindakan kawalan segera di tapak ini membolehkan LRA Cheras Batu 11 beroperasi semula kurang empat jam selepas ia dihenti tugas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Ogos 2023 @ 10:59 AM