Norzamira Che Noh


Shah Alam: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengesan insiden kebakaran kilang memproses plastik berhampiran Sungai Kuang yang menyebabkan pencemaran bau sekitar tiga ton, malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli, Hee Loy Sian berkata kebakaran itu dikesan ketika Ops Sumber Air dijalankan pada 10 malam tadi.

Katanya, LUAS dengan kerjasama Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) serta Majlis Perbandaran Selayang (MPS) sedang melaksanakan tindakan segera menangani pencemaran bau sekitar tiga ton di sungai berkenaan.

"Berdasarkan maklumat, pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor memaklumkan insiden kebakaran premis itu berlaku sekitar 6 petang.

"Siasatan LUAS dan Air Selangor mendapati sisa kebakaran tersebut sudah membeku pada permukaan air, namun sisa kehitaman kesan bahan terbakar mengalir masuk ke alur air di hulu Sungai Kuang sehingga menyebabkan kesan bau sekitar tiga ton melalui pensampelan bau yang dilaksanakan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

LUAS dan agensi berkaitan mengambil tindakan pantas bagi mengelak LRA henti tugas. FOTO Ihsan Facebook (FB) LUAS
LUAS dan agensi berkaitan mengambil tindakan pantas bagi mengelak LRA henti tugas. FOTO Ihsan Facebook (FB) LUAS

Beliau berkata, jarak insiden ke muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) terdekat iaitu Rantau Panjang anggaran dalam 33 kilometer (km) dan tiada henti tugas LRA serta gangguan bekalan air kepada pengguna dilaporkan.

Jelasnya, LUAS dan Air Selangor melaksanakan langkah awal nyah bau dengan meletakkan 43 beg karbon aktif (activated carbon) untuk mengawal pencemaran di Sungai Kundang (aliran masuk daripada Sungai Kuang) sekali gus mengelakkan bau daripada sisa kebakaran itu mengalir sehingga ke Sungai Sembah dan seterusnya ke Sungai Selangor.

"Dilaporkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia berjaya memadamkan kebakaran itu sekitar 4.30 pagi dan sehingga kini, LUAS, Air Selangor dan MPS sedang dalam proses untuk menghentikan sisa kebakaran daripada mengalir ke dalam sungai melalui cadangan pembinaan ban tanah di lokasi.

"LUAS juga akan mengeluarkan Perintah Perlindungan Air mengikut Seksyen 122, Enakmen LUAS 1999 kepada kilang terbabit berkenaan risiko dan ancaman insiden berkenaan kepada kualiti sumber air," katanya.

Hee berkata, langkah mitigasi susulan dan pemantauan rapi dari semasa ke semasa dijalankan oleh LUAS bersama pihak terbabit.

"Kerajaan Selangor sentiasa komited dalam memastikan kelangsungan sumber air di Negeri Selangor dan menyeru kepada semua supaya prihatin terhadap kawasan sensitif sumber air negeri terutamanya sungai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Oktober 2020 @ 2:45 PM