Muhamad Shaifullah Tayep

MEROKOK adalah masalah ketagihan yang makin membimbangkan di Malaysia.

Daripada 29 juta penduduk Malaysia, bilangan perokok dianggarkan sembilan juta atau 23 peratus dan lebih 27,200 kematian rakyat Malaysia direkodkan setiap tahun berkaitan dengan merokok.

Pelbagai usaha dilakukan kerajaan dan pihak berwajib bagi membendung dan mengurangkan isu ketagihan namun jumlah perokok di negara ini makin meningkat saban tahun.

Ramai daripada mereka mengamalkan gaya hidup sihat seperti kerap minum air dan kekal aktif, selain menggunakan alternatif bebas asap rokok bagi mengurangkan ketagihan.

Namun, sejauh mana pengetahuan rakyat Malaysia mengenai alternatif bebas asap rokok?

Produk tembakau yang dipanaskan memanaskan tembakau sebenar dalam julat suhu tertentu dan menggunakan sistem kawalan haba elektronik untuk mengelakkannya daripada terbakar. 

Sebaliknya, rokok elektronik mengewapkan larutan e-cecair yang mengandungi nikotin dan perisa apabila pengguna menggunakannya.

Satu kajian dijalankan syarikat penyelidikan dan analisis pasaran dalam talian, Vodus untuk Philip Morris Malaysia (PMM) mendedahkan tiga daripada lima rakyat Malaysia menganggap rokok elektronik, vape dan produk tembakau yang dipanaskan tanpa pembakaran adalah sama.

Kajian yang dijalankan antara 17 April hingga 17 Mei 2023 membabitkan 5,325 rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas itu turut mendedahkan separuh daripada rakyat Malaysia yang ditemubual mendakwa biasa dengan alternatif bebas asap rokok terutamanya segmen T20, wilayah Selatan, etnik dan golongan graduan.

Hanya Gen X berumur 35 sehingga 54 tahun, lepasan sekolah rendah, golongan wanita dan Cina mendakwa tidak mengetahui alternatif bebas asap rokok.

Kajian tersebut juga mendedahkan 59 peratus berpendapat nikotin adalah punca penyakit berkaitan rokok, diikuti 20 peratus menyalahkan pelepasan asap dan 12 peratus tidak pasti.

Keputusan ini menunjukkan kelaziman maklumat yang salah mengenai nikotin.

Walaupun nikotin menyebabkan ketagihan, ia bukan punca utama penyakit berkaitan rokok.

Seballiknya, puncanya ialah pendedahan perokok kepada proses pembakaran tembakau yang membebaskan bahan toksik.

Kajian itu juga menyebutkan satu dalam dua rakyat Malaysia sedar bahawa alternatif bebas asap rokok berpotensi kurang berbahaya daripada rokok.

Ini jelas menunjukkan jurang pengetahuan rakyat tentang perbezaan antara produk alternatif dan rokok tradisional.

Alternatif seperti vape dan tembakau yang dipanaskan tidak menggunakan proses pembakaran untuk menghantar dos nikotin kepada penggunanya, lalu kurang membebaskan bahan kimia berbahaya seperti karsinogen, tar dan karbon monoksida berbanding dengan rokok biasa.

Namun, dua pertiga berpendapat bahawa alternatif bebas asap rokok harus dikawal secara berbeza daripada rokok jika pengurangan risikonya terbukti.

Persatuan Pengurangan Kemudaratan Malaysia (MSHR) juga percaya alternatif bebas asap seperti vape kurang risiko berbanding rokok dan mampu membantu perokok tegar berhenti merokok.

Bagaimanapun, tiga perempat rakyat Malaysia percaya golongan dewasa, lepasan ijazah, etnik lain dan isi rumah T20 rendah mempunyai hak untuk mengakses maklumat mengenai alternatif bebas asap rokok.

Malah, hanya tiga dalam lima berpendapat bahawa terdapat kebolehcapaian maklumat mengenai alternatif bebas asap rokok.

Hasil kajian membuktikan masih terdapat jurang pengetahuan rakyat Malaysia tentang rokok dan alternatif bebas asap rokok.

Namun, rakyat Malaysia pastinya mampu membuat pilihan dan berfikir dengan bijak melalui perkongsian maklumat serta akses kepada informasi tepat mengenai alternatif bebas asap rokok oleh pihak berwajib.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Jun 2023 @ 4:45 PM