Suliati Asri

Kini, ramai dalam kalangan masyarakat memilih untuk melanggan pelbagai perkhidmatan termasuk platform penstriman video untuk menikmati filem atau rancangan televisyen kegemaran.

Ini kerana, menerusi platform itu, pelanggan disajikan dengan pelbagai rancangan yang disyorkan berdasarkan genre kegemaran.

Malah, ia juga memudahkan pelanggan memilih apa yang hendak ditonton. Namun, bagaimana pula jika pelan insurans atau takaful boleh diperoleh semudah melanggan pakej penstriman? Ia pasti sesuatu yang cukup menyenangkan.

Mengambil inspirasi konsep ini, AIA Malaysia, penyedia insurans dan takaful terkemuka negara telah melancarkan kempen terbaharunya 'Pilih Kehidupan yang Lebih Bermakna' atau Subscribe to a Better Life.

Kempen ini adalah ekspresi kreatif berdasarkan hasrat AIA untuk memperkasakan rakyat Malaysia untuk 'Hidup Penuh Bersemangat' menerusi kehidupan yang sihat, aktif dan bertenaga di samping memudahkan pemahaman mengenai insurans mahupun takaful melalui pengenalan platform yang interaktif dan menyeronokkan.

AIA telah menghasilkan penceritaan jenama yang sesuai dan relevan melalui kempennya dengan mengetengahkan produk serta tawaran syarikat sebagai filem dan rancangan TV dengan memanfaatkan minat rakyat terhadap platform penstriman.

Menariknya, kempen ini dilancarkan dengan filem jenama yang menampilkan legenda skuasy dan ikon sukan Malaysia, Datuk Nicol David.

Lebih mengujakan, filem ini turut memaparkan Nicol memainkan pelbagai watak dan peranan yang mencerminkan kehidupan yang penuh bersemangat termasuklah perlawanan skuasy yang epik, bergembira di dapur sambil menikmati buah dan sayuran serta menyegarkan tubuh dan minda dengan seni mempertahankan diri.

Ketua Pegawai Pemasaran AIA Malaysia Heng Zee Wang yang teruja dengan pelancaran kempen baharu itu berkata pihaknya sedar bahawa pasaran insurans dan takaful sering dikaburi dengan pelbagai istilah yang sukar difahami.

Menurutnya, keadaan itu menjadi satu cabaran dan halangan untuk masyarakat mendapatkan perlindungan yang memenuhi keperluan mereka.

"Kempen 'Pilih Kehidupan yang Lebih Bermakna' ini dilancarkan bagi mengurangkan kekeliruan dengan menjelaskan istilah-istilah insurans dan penceritaan ditonjolkan dengan kaedah yang ringkas dan diminati rakyat Malaysia," katanya.

Zee Wang berkata pihaknya berbangga dapat memperkenalkan kempen yang menarik, unik, dan menghiburkan selain yakin ia dapat membantu meningkatkan pengalaman pelanggan apabila berinteraksi dengan AIA.

Kempen ini boleh diakses melalui laman web informatif dan interaktif yang direka seperti paparan perkhidmatan penstriman.

Ia bertujuan membantu pelanggan merealisasikan aspirasi hidup mereka melalui kandungan yang menampilkan rangkaian produk serta tawaran AIA, termasuk ekosistem Penyelesaian Kesihatan dan Kekayaan Menyeluruh syarikat terbabit.

"Hanya dengan satu klik, pelanggan akan dibawa meneroka dunia penyelesaian kesihatan dan kekayaan yang diperibadikan.

"Kami percaya kempen ini adalah permulaan kepada sesuatu yang mengujakan dalam usaha berterusan kami untuk memastikan perlindungan insurans dan takaful dapat diakses serta difahami dengan lebih mudah oleh orang ramai, tanpa mengira keperluan dan peringkat kehidupan mereka," katanya.

Sementara itu, Nicol yang juga duta AIA Malaysia teruja dan tertarik dengan konsep yang diketengahkan AIA menerusi kempen itu.

"Kita kini melanggan pelbagai perkhidmatan untuk menikmati keselesaan dan kemudahan yang ditawarkan, sama ada keahlian gim, pelan pemakanan mahupun saluran penstriman.

"Jadi mengapa tidak melanggan dan memilih untuk menjalani kehidupan yang bermakna juga?

"Saya berharap kempen terbaharu AIA ini akan memberi inspirasi kepada lebih ramai rakyat Malaysia untuk Hidup Penuh Bersemangat dan mencapai matlamat hidup mereka," katanya.

Untuk maklumat lanjut, layari www.aia.com.my/livewithvitality.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Julai 2023 @ 6:50 PM