Lebuhraya KL-Karak
Lebuhraya KL-Karak
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Gombak: Lebih satu juta kenderaan dari Lembah Klang dijangka keluar menerusi Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) bermula esok untuk pulang ke kampung masing-masing pada Aidiladha pada Khamis ini.

Ketua Pegawai Eksekutif ANIH Berhad Imran Gulcharan Abdullah berkata, pihaknya menjangkakan peningkatan peningkatan trafik sehingga 70 peratus membabitkan KLK.

"Selain itu, lebih kurang 430,000 kenderaan dijangka melalui Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dengan anggaran peningkatan sebanyak 60 peratus.

"Cuti perayaan yang bersambung dengan cuti hujung minggu ini merupakan peluang berharga untuk bersama keluarga dalam tempoh lebih lama," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, orang ramai dinasihatkan dapat mematuhi cadangan jadual perjalanan (TTA) bermula 27, 28 Jun ini dan 1 serta 2 Julai nanti.

Katanya, ia bagi membantu pengguna jalan raya merancang perjalanan berdasarkan maklumat corak aliran trafik bagi semasa musim perayaan.

"TTA merupakan panduan penting bagi membolehkan mereka merancang perjalanan dengan lebih baik dan mengurangkan kemungkinan kelewatan.

"Dapatkan maklumat terkini, rancang awal dan nikmati pengalaman perjalanan yang lancar dan selamat sampai ke destinasi bersama kami," katanya.

Menurutnya, ANIH Berhad akan membuka laluan kontra di lokasi tumpuan yang mengalami kesesakan dan lorong tol tambahan bagi transaksi bayaran secara manual.

"Sebagai usaha mengurangkan kesesakan pada musim perayaan, ANIH Berhad akan menambah bilangan kakitangan sokongannya sehingga 20 peratus, yang terdiri daripada

petugas di plaza tol, pasukan LPT Ronda dan pasukan pusat kawalan trafik (TCC).

"ANIH Berhad juga akan menempatkan 170 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) di kawasan strategik di sepanjang lebuh raya bagi memastikan kelancaran trafik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Jun 2023 @ 5:29 PM