GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Asrol Awang


Kuantan: ANIH Berhad (ANIH), pengendali Lebuhraya Kuala Lumpur–Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) menjangkakan 1.477 juta kenderaan akan melalui dua lebuh raya berkenaan sempena perayaan Tahun Baharu Cina.

Ketua Pegawai Eksekutif ANIH Berhad, Imran Gulcharan Abdullah, berkata jumlah trafik ke Pantai Timur dijangka meningkat bermula hari ini hingga Sabtu.

Katanya, kesesakan trafik menghala ke barat pula dijangka berlaku pada 12 dan 13 Februari ini.

"Jumlah anggaran trafik sepanjang enam hari adalah sebanyak 1,054,000 kenderaan di KLK manakala LPT 1 sebanyak 423,000 kenderaan.

"Ia merujuk kepada peningkatan sebanyak 75 peratus kenderaan yang melalui KLK dan peningkatan 57 peratus kenderaan di LPT1 sepanjang tempoh itu berbanding purata trafik harian.

"Bagi menghadapi peningkatan trafik dan memastikan kelancaran lalu lintas di sepanjang lebuhraya KLK dan LPT1, ANIH membuat persediaan yang memberikan tumpuan khusus kepada operasi tol, pengurusan trafik dan rondaan lebuh raya serta pengurusan fasiliti," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa yang sama, beliau berkata, ANIH mengambil langkah proaktif dengan membuat penambahan petugas sebanyak 20 peratus yang meliputi pasukan petugas LPT Ronda dan kawalan trafik untuk tujuan rondaan, kawalan serta bantuan.

Selain itu, katanya, seramai 156 anggota RELA turut ditempatkan bagi mengurus serta mengawal aliran trafik di plaza tol, hentian rehat dan hentian sebelah yang turut dijangka sesak.

"Kemeriahan perayaan ini lebih berganda apabila ada cuti gantian yang secara tidak langsung ramai yang akan mengambil peluang memanfaatkannya.

"Jadi, rujuk Jadual Waktu Perjalanan (TTA) yang disediakan boleh dirujuk di media sosial rasmi kami untuk dijadikan sebagai panduan apabila membuat perancangan perjalanan," katanya.

Bagi mendapatkan informasi tepat dan terkini, sila ikuti saluran rasmi media sosial ANIH di Facebook @Lebuhraya Pantai Timur dan X (Twitter) @LPTTrafik serta Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) @llmtrafik. Sekiranya berlaku kecemasan, hubungi LPT-Line di 1-700-818-700 atau talian LLM di 1800-88-7752.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Februari 2024 @ 7:18 PM