ANTARA barang yang dirampas dalam tangkapan terhadap seorang lelaki yang dipercayai terbabit dengan kejadian ragut rantai emas di Jalan Kuchai Maju, Kuala Lumpur, semalam.
ANTARA barang yang dirampas dalam tangkapan terhadap seorang lelaki yang dipercayai terbabit dengan kejadian ragut rantai emas di Jalan Kuchai Maju, Kuala Lumpur, semalam.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Tidak sampai 24 jam selepas meragut rantai emas seorang wanita di Jalan Kuchai Maju 10, di sini, semalam, suspek lelaki berjaya ditahan polis, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, pihaknya menerima laporan dibuat pengadu berusia 31 tahun kira-kira jam 4 petang, semalam.

"Pengadu memaklumkan dia didatangi seorang lelaki dari arah belakang yang terus meragut rantai emas dipakainya.

"Ketika kejadian, suspek menaiki sebuah motosikal Yamaha NVX berwarna hitam dengan nombor pendaftaran tidak dapat dipastikan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Amihizam berkata, bertindak atas maklumat, kami menahan seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun jam 10.15 malam tadi.

"Dalam serbuan itu, kami turut merampas barang-barang seperti pakaian, beg, telefon bimbit serta sebuah motosikal jenis Yamaha NVX yang dipercayai digunakan suspek ketika kejadian.

"Siasatan awal dilakukan mendapati suspek mengaku meragut rantai emas milik pengadu dan menjualnya di sebuah ke kedai pajak gadai di Bandar Sri Permaisuri Cheras dengan nilai pajakan RM600," katanya.

Beliau berkata, semakan dilakukan mendapati suspek terbabit mempunyai satu rekod jenayah.

"Suspek direman selama empat hari bermula hari ini hingga 25 Mei ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini atau maklumat berkaitan kes jenayah di daerah ini boleh menghubungi Hotline Polis Brickfields di talian 03-22979222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mei 2022 @ 8:04 PM