KEBAKARAN di lobi dipercayai akibat perbuatan khianat. FOTO ihsan Polis
KEBAKARAN di lobi dipercayai akibat perbuatan khianat. FOTO ihsan Polis
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Punca kebakaran di lobi Blok B Teratak Muhibbah, Taman Danau Desa, di sini, semalam, dipercayai akibat perbuatan khianat.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada lelaki, 10.31 pagi, semalam.

"Menurut pengadu, semasa berada di rumahnya, dia dimaklumkan mengenai kebakaran itu yang berhampiran dengan peti surat blok terbabit.

"Pengadu kemudian menghubungi pihak bomba untuk memadamkan kebakaran itu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Amihizam berkata, hasil siasatan dan pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati terdapat kesan kebakaran pada dinding di atas peti surat terbabit.

"Terdapat beberapa helai surat dan topi

keledar lama yang berada di atas peti surat berkenaan yang terbakar.

"Semakan di lokasi kejadian juga mendapati tiada sistem kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berkenaan," katanya.

Beliau berkata, siasatan awal pihak forensik bomba di lokasi kejadian mendapati kebakaran itu berpunca akibat perbuatan yang disengajakan.

"Kes itu sudah dirujuk kepada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields untuk disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai dinasihatkan untuk menyalurkan sebarang maklumat dengan menghubungi Mers 999, IPD Brickfields di talian 03-22792222 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Ogos 2022 @ 12:00 PM