GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Pura-pura tawar khidmat trak tunda sebelum curi barang milik mangsa. Itu modus operandi empat individu yang menyasarkan pemandu mengalami kemalangan sebagai mangsa.

Bagaimanapun, helah mereka terbongkar selepas empat individu termasuk dua wanita ditahan dalam serbuan di parkir sebuah stesen minyak di Shah Alam, Selangor, semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Annuar Omar berkata, pihaknya menerima laporan dibuat seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun memaklumkan kereta Peugeot dipandunya di Jalan Syed Putra, di sini, mengalami kemalangan pada 12.30 tengah malam, 19 Disember lalu.

"Selepas kemalangan itu, pengadu didatangi dua lelaki dan dua wanita tempatan yang menawarkan khidmat trak tunda.

"Ketika pengadu berunding dengan salah seorang lelaki itu, dia melihat tiga lagi rakannya dalam keadaan mencurigakan berhampiran keretanya.

"Pengadu juga melihat salah seorang daripada mereka iaitu seorang wanita masuk ke dalam keretanya dan keluar selang lima minit kemudian," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Annuar berkata, selepas berbincang dengan lelaki terbabit, pengadu tidak bersetuju menggunakan khidmat trak tunda mereka.

"Selepas mereka beredar, pengadu mendapati beberapa barang miliknya yang berada di dalam kereta yang dianggarkan bernilai kira-kira RM10,000 hilang.

"Bertindak atas maklumat diterima, kami menahan dua lelaki dan dua wanita berusia antara 19 hingga 32 tahun di parkir sebuah stesen minyak di Shah Alam pada 10.30 malam, 20 Disember lalu.

"Hasil pemeriksaan terhadap semua suspek, kami merampasan satu pembesar suara, satu kad SmartTAG, satu kad Touch & Go, satu beg silang, dua kad debit, tiga telefon bimbit, satu jam tangan berjenama serta satu kunci kereta," katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut dilakukan mendapati semua suspek mengaku terbabit dalam kes berkenaan.

"Semakan rekod mendapati seorang daripada dua suspek lelaki mempunyai satu rekod membabitkan kesalahan pecah amanah, manakala seorang suspek wanita pula mempunyai pelbagai rekod jenayah berkaitan dadah dan kesalahan curi dalam bangunan.

"Semua suspek direman selama tiga hari bermula hari ini hingga 23 Disember nanti untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan," katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dalam sebarang situasi supaya tidak menjadi mangsa penjenayah.

"Polis Brickfields akan terus komited dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman awam kekal terpelihara. Sebarang informasi berkaitan jenayah boleh disalurkan kepada pihak Polis Brickfields di talian Hotline 03-22979222," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Disember 2020 @ 9:55 PM