Nazdy Harun


Kuala Terengganu: Penenun songket sutera diibarat memiliki 'tangan emas' kerana setiap helai kain yang siap ditenun mampu dijual melebihi RM5,000 sehelai.

Ellyherlina Alias, 38, dari Kampung Beladau Selat, dekat sini berkata, songket biasa diperbuat menggunakan benang cotton dan satu lagi ditenun menggunakan benang sutera.

Menurutnya, dia mula menenun songket sejak berusia 18 tahun dan ketika itu dia hanya menenun songket menggunakan benang cotton namun beralih menenun songket sutera sepenuhnya hingga kini.

"Kalau diikutkan menenun songket sutera sememangnya sukar kerana struktur benang sutera yang lembut selain mudah putus namun kemahiran tinggi diperlukan dalam mengendalikannya.

"Untuk menyiapkan sehelai songket sutera saya mengambil masa 14 hingga 20 hari, bergantung kepada corak dan warna yang diinginkan pelanggan," katanya.

Menurutnya, antara motif yang ditenun iaitu abstrak, pagar, daun, bunga, pokok dan selain motif campuran seperti bunga, pokok serta pagar ditenun pada songket.

Katanya, kain yang ditenun biasanya sepanjang dua meter namun sekiranya seseorang berbadan besar ukuran panjang boleh mencecah sehingga dua meter setengah.

Ellyherlina berkata, dia pernah menyiapkan tempahan kain songket sutera untuk dijadikan pakaian lelaki serta samping dan kain pasang untuk wanita bernilai lebih RM30,000.

Menurutnya, kain songket yang dijadikan samping biasanya mampu bertahan dalam tempoh lama bergantung kepada penjagaannya kerana fabrik seperti ini perlu dijaga dengan baik bagi menjamin jangka hayatnya.

Ellyherlina menunjukkan kain songket sutera yang dalam proses tenunan. FOTO NAZDY HARUN
Ellyherlina menunjukkan kain songket sutera yang dalam proses tenunan. FOTO NAZDY HARUN

Katanya, kain songket dijadikan samping dan ada juga yang ditempah untuk dijadikan pakaian, namun ia bergantung kepada pelanggan yang menempahnya.

"Namun, untuk mencari legasi penyambung bagi mewarisi kemahiran menenun amat sukar kerana generasi muda tidak begitu meminati seni tradisi ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Jun 2023 @ 11:12 AM