MINAT mendalam terhadap tenunan songket menyebabkan Zainab menolak tawaran menjadi guru.
MINAT mendalam terhadap tenunan songket menyebabkan Zainab menolak tawaran menjadi guru.
LEGASI songket Terengganu mempunyai keunikan tersendiri.
LEGASI songket Terengganu mempunyai keunikan tersendiri.
KESUNGGUHAN dan kejayaan Zainab dalam tenunan songket dikongsi bersama.
KESUNGGUHAN dan kejayaan Zainab dalam tenunan songket dikongsi bersama.

Legasi songket Terengganu dilengkapkan dengan kehadiran seorang tokoh dan usahawan songket tersohor, Zainab Mamat, 73, atau lebih mesra dipanggil Mak Ngah.

Menetap di Kampung Bukit Depu, Kuala Terengganu, tokoh ini berjaya membuktikan hasil kemahiran kerja tangan warisan itu mampu diketengahkan sebagai produk berdaya saing.

Dilahirkan pada 22 Disember 1942 di Kampung Gelung Gajah, sebuah perkampungan kecil tidak jauh dari Kuala Terengganu, saban hari, dia sering melihat nenek dan ibunya menenun.

Sesekali mencuri duduk di atas kek tenunan sambil membelek benang loseng yang berwarna-warni dengan penuh minat.

Selepas menamatkan persekolahan, dia ditawarkan mengikuti kursus perguruan. Cintanya terhadap seni tenunan menyebabkan dia menolak tawaran itu.

Bermulalah perjalanan seorang penenun muda yang penuh semangat dan bercita-cita merealisasikan impian sebagai tokoh tenun terbilang suatu hari nanti.

“Bukan mudah untuk membuat keputusan pada ketika itu. Mak Ngah perlu buktikan kepada emak dan ayah bahawa keputusan yang diambil adalah betul,” katanya yang juga antara penerima Anugerah Tokoh Kraf Negara 2002.

Zainab mempelajari setiap peringkat dan proses menenun daripada beberapa penenun di sekitar Kampung Gelung Gajah.

Pada awalnya dia belajar mewarna benang, menggulung, menerai, menyapuk, menyongket, menenun hing­galah ‘menghubung’ benang.

Pada masa sama dia terus meningkatkan kemahiran membuat reka corak songket.

Zainab menjelaskan, untuk menjadi seorang penenun yang berkemahiran perlu sentiasa berfikiran positif, kreatif dan paling utama mengetahui setiap lang­kah serta teknik tenunan songket itu sendiri.

Hasil tenunannya dipelbagaikan dengan kekuatan reka corak dan penggunaan bahan berkualiti termasuk benang sutera serta kapas.

Kesungguhan dan kejayaan Zainab dalam tenunan songket dikongsi bersama dengan jiran yang juga mahir menenun.

Mereka diberi kepercayaan menenun kain songket dan Zainab bertindak sebagai penyelia yang memastikan kualitinya terjaga.

Secara tidak langsung permintaan kain songket yang makin meningkat dapat dipenuhi dan penenun berkenaan dapat menambah pendapatan.

Bertemu jodoh dengan Allahyarham Jusoh Husin, Zainab dikurniakan lima anak perempuan dan seorang lelaki.

Bagi memastikan seni kemahiran ini terus diwarisi, semua anak perempuannya digalakkan belajar menenun.

Kini, dia berbangga kerana anak-anak menjadi penyambung legasi tenunan songket Melayu.

Sehingga kini, ribuan helai songket sudah dihasilkan dan dijual kepada pelanggannya dari dalam dan luar negara termasuk Singapura serta Brunei selain Terengganu Songket bukan lagi nama asing.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 November 2015 @ 5:01 AM