KETELITIAN tentu menjadi keutamaan dalam proses tenunan songket. - FOTO Arkib NSTP
KETELITIAN tentu menjadi keutamaan dalam proses tenunan songket. - FOTO Arkib NSTP
Hartini Mohd Nawi


Berbicara mengenai songket, hakikatnya ia mempunyai nilai sejarah yang tinggi sebagai fabrik warisan agung.

Tidak hanya mengangkat martabat si pemakai, malah motif dan warna tenunan songket melambangkan kedudukan seseorang.

Fabrik yang mewah dan mahal ini menggambarkan struktur sosial dalam kalangan bangsawan Melayu satu ketika dulu.

Kehalusan tenunan dan kerumitan motif corak songket ketika itu menggambarkan pangkat dan kedudukan tinggi seseorang pembesar.

Songket buatan tempatan di Malaysia pula menerima pengiktirafan antarabangsa oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) yang menyenaraikannya dalam kategori Warisan Kebudayaan Tidak Ketara pada 17 Disember 2021.

Di Malaysia, istilah songket merujuk kepada 'sungkit' mahupun 'sangkut' yang bermakna mengait, menyungkit atau mencungkil.

Songket terhasil daripada teknik tenunan. Kini dengan penggunaan benang emas sintetik, songket tidak lagi semahal dulu.

Namun, songket yang berkualiti terbaik masih dinilai sebagai bentuk seni yang anggun dan agak mahal.

Sejak dahulu songket antara fabrik pilihan popular untuk pakaian perkahwinan tradisional Melayu, Palembang, Minangkabau, Aceh dan Bali, Indonesia.

Pada hari ini, pakaian rasmi lelaki Melayu sering memakai songket sebagai kain yang dililit atas seluar atau sebagai ikat kepala atau tanjak.

Bagi wanita pula, songket dibalut sebagai kain sarung yang digabungkan dengan kebaya atau baju kurung.

Biarpun berasal daripada kraf tradisional, namun industri songket terus hidup, kekal dinamik dan berada pada prestijnya tersendiri.

Sebagai salah satu elemen seni, songket sering dibingkaikan dan digunakan untuk menghiasi ruang rumah.

Perkembangan gaya dan arus kemodenan meletakkan songket tidak hanya sebagai fabrik pakaian, tetapi turut dipelbagaikan penggunaannya termasuk beg wanita, songkok hingga aksesori telefon bimbit.

SONGKET yang berkualiti terbaik masih dinilai sebagai bentuk seni yang anggun dan agak mahal. - FOTO Arkib NSTP
SONGKET yang berkualiti terbaik masih dinilai sebagai bentuk seni yang anggun dan agak mahal. - FOTO Arkib NSTP

SONGKET mempunyai nilai sejarah yang tinggi sebagai fabrik warisan agung. - FOTO Arkib NSTP
SONGKET mempunyai nilai sejarah yang tinggi sebagai fabrik warisan agung. - FOTO Arkib NSTP

Motif songket turut mencerminkan kekayaan alam semula jadi dan kesantunan cita rasa budaya.

Secara ringkasnya proses menenun songket adalah menerusi teknik menyungkit menggunakan lidi buluh atau bilah nibong melalui benang loseng atau lungsin di permukaan alat tenun yang dipanggil kek tenun.

Proses menyungkit dilakukan selepas benang karat butang disediakan. Benang karat butang digunakan untuk membuat reka corak atau sulaman benang emas.

Benang perlu dibersihkan sebelum dicelup ke dalam pewarna. Selepas pewarnaan dilakukan, benang perlu dikeringkan sebelum langkah seterusnya.

Penjagaan kain songket

1. Kertas bebas asid sesuai digunakan sebagai pelapik pada permukaan dalam dan luar kain sebelum ia digulung pada helaian songket.

2. Boleh gunakan sarung pelekat pada alas untuk menggulung songket.

3. Gulungan songket perlu disimpan teliti secara menegak dalam almari bagi mengelakkan ia dihempap fabrik atau pakaian lain.

4. Elakkan menggosok songket kerana ia dikatakan boleh menjejaskan kualiti tenunan benang emas itu sendiri.

5. Cucian kering antara pilihan yang sesuai dan amat dicadangkan.

6. Teknik gerus antara cara mengilat songket iaitu menggunakan papan gerus, siput gerus, damar batu dan lilin lebah supaya fabrik itu kekal berseri dalam jangka lama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 November 2023 @ 6:52 AM