NOR Fazlina bercita-cita membuka perusahaan tenunan songket sendiri satu hari nanti. FOTO Nazdy Harun
NOR Fazlina bercita-cita membuka perusahaan tenunan songket sendiri satu hari nanti. FOTO Nazdy Harun
Nazdy Harun

Kuala Nerus: Biarpun bergelar graduan, seorang wanita tidak kekok mengisi masa seharian dengan mengambil upah menenun songket yang disifatkannya pekerjaan tradisi masyarakat Melayu di negeri ini sejak dulu.

Nor Fazlina Maarof, 24, graduan bidang teknologi kimia industri dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berkata, dia mahir menenun songket sejak berusia 19 tahun dan ketika itu hanya menenun sebagai kerja sampingan untuk mencari duit poket ketika cuti semester.

Menurutnya, selepas itu barulah minatnya timbul untuk terbabit secara serius menenun songket dan setiap bulan dia mampu menyiapkan dua kain songket lelaki dengan upah RM500 sehelai.

Katanya, dia dibayar antara RM800 dan RM1,200 untuk menenun kain songket yang dijadikan sepasang baju lelaki berikutan kain yang perlu ditenun lebih panjang berbanding kain samping biasa.

“Kerja menenun tidak mudah kerana ia memerlukan ketelitian tinggi dan pada peringkat awal, saya menghadapi kesukaran kerana sering sakit badan akibat terlalu banyak tunduk bagi mencari punca benang pada alat tenunan.

“Bahagian belakang kain yang kedudukannya di tengah-tengah pula amat sukar ditenun kerana banyak motif yang perlu dibuat, sekali gus menjadikannya cabaran paling besar untuk menghasilkan sepasang tenunan songket.

“Kini saya sudah biasa dan setiap hari masa dihabiskan dengan menyiapkan songket yang diupah dan pada masa sama, saya turut mempelajari teknik tenunan songket sutera,” katanya yang berasal dari Kampung Pagar Besi, Batu Rakit di sini.

NOR Fazlina menunjukkan bahagian tengah kain songket yang sukar ditenun kerana motif bunga yang banyak. FOTO Nazdy Harun
NOR Fazlina menunjukkan bahagian tengah kain songket yang sukar ditenun kerana motif bunga yang banyak. FOTO Nazdy Harun

Menurutnya, ibunya Anita Mohd Nor, 49, banyak mengajarnya teknik menenun songket kerana dia berpengalaman lebih 10 tahun mengambil upah menenun manakala neneknya Zainun Mohammad, 62, adalah guru dalam bidang tenunan dengan pengalaman hampir 50 tahun.

Katanya, nenek dan ibunya menjadi rujukan utama kerana kemahiran tinggi yang dikuasai nenek mampu menterjemahkan hasil kain yang berkualiti dan menepati cita rasa pelanggan.

“Saya seronok kerana pada usia muda dapat menguasai teknik tenunan yang bukan mudah untuk dikuasai.

“Saya menyimpan hasrat membuka perusahaan tenunan songket sendiri satu hari nanti,” katanya.

Menurutnya, dia mengakui generasi muda kini kurang berminat dengan perusahaan tradisional itu, namun berharap lebih ramai pelapis bagi membolehkan industri tenunan tangan bertahan dan bersaing dengan kain songket tenunan mesin yang kini memenuhi pasaran.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 January 2018 @ 5:20 AM