Mohd Roji Kawi


Kuching: Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak akan terbabit secara langsung dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di Semenanjung.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, di peringkat pimpinan gabungan empat parti yang membentuk GPS itu ada perintah tetap yang menjelaskan prinsip parti agar mereka tidak terbabit di dalam pilihan raya di negeri lain.

Bagaimanapun katanya, beliau selaku Menteri Perladangan dan Komoditi bersama barisan menteri kabinet lain serta timbalan menteri di dalam Kerajaan Perpaduan tetap akan melaksanakan program kementerian masing-masing, bukannya berkempen.

"Itu prinsip yang GPS pegang sejak awal penubuhannya kerana fokus utama kita adalah untuk memperjuangkan kepentingan rakyat Sarawak.

"Pada masa yang sama GPS menyokong Kerajaan Persekutuan kerana matlamat kita adalah untuk membentuk kerajaan yang stabil dan kuat untuk mentadbir negara," katanya kepada pemberita di Program "Love My Neighbourhood" Petra Jaya di Dewan Kampung Malaysia Jaya, di sini, hari ini.

FADILLAH Yusof, menghadiri Program "Love My Neighbourhood" Petra Jaya di Dewan Kampung Malaysia Jaya, Kuching. FOTO nadim Bokhari
FADILLAH Yusof, menghadiri Program "Love My Neighbourhood" Petra Jaya di Dewan Kampung Malaysia Jaya, Kuching. FOTO nadim Bokhari

Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 Dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Fazruddin Abdul Rahman.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata, dalam melaksanakan program kementerian masing-masing sepanjang tempoh berkempen pada PRN itu nanti, anggota kabinet Persekutuan daripada GPS hanya akan memperincikan dasar kementerian masing-masing selain menjelaskan perkara yang membawa kepada pembentukan Kerajaan Perpaduan.

"Paling utama kita mahu menyampaikan mesej, kestabilan harus dicapai pada waktu ini dan ia hanya dapat dicapai melalui perpaduan.

"Apabila sudah dicapai, ia akan memudahkan kita melakukan segala perancangan untuk memulihkan ekonomi, kukuhkan kewangan dan akhirnya bantu rakyat membangunkan negara," katanya.

Mengenai "Love My Neighbourhood" Fadillah berkata, program anjuran Pejabat Pusat Khidmat Parlimen Petra Jaya dengan kerjasama MyKasih Foundation itu bertepatan dengan semangat Kerajaan Perpaduan yang mengambil berat semua golongan.

"Menerusi program itu, bantuan tunai sebanyak RM200 oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk golongan B40 dimasukkan ke dalam kad pengenalan penerima bantuan untuk mereka membeli barangan keperluan harian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Jun 2023 @ 12:51 PM