Mohd Roji Kawi


Kuching: Kementerian Perladangan dan Komoditi sudah mengenalpasti pekebun kecil sawit yang terjejas teruk akibat banjir yang melanda Johor ketika ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, beliau sudah menerima laporan berhubung bencana itu yang turut menjejaskan beberapa pekebun kecil.

Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, bantuan sewajarnya akan disalurkan kepada pekebun terbabit bagi meringankan beban mereka untuk mengusahakan semula kebun apabila keadaan banjir pulih.

"Kementerian saya bersama agensi terbabit serta beberapa syarikat besar akan melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) di Johor untuk membantu pekebun terbabit.

"Kita juga akan melihat dengan lebih dekat apa permasalahan yang dihadapi sama ada pekebun kehilangan peralatan akibat bencana itu seterusnya program itu juga bagi membolehkan kita mengenalpasti bantuan yang diperlukan untuk membolehkan mereka kembali mengusahakan kebun," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Karnival Bomba Komuniti Petra Jaya 2023 di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya,di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Datuk Khirudin Drahman.

Difahamkan, ramai pekebun kecil sawit di kawasan Sri Medan, Parit Sulong, Parit Raja dan Sri Gading di Batu Pahat terjejas teruk akibat banjir termenung yang melanda sejak 1 Mac susulan hujan lebat yang bermula 27 Februari lalu.

Mengenai sasaran pengeluaran 18 juta tan metrik sawit tahun ini, Fadillah berkata, pemain industri menghadapi pelbagai cabaran seperti banjir, penyakit dan sumber manusia untuk mencapai sasaran itu.

"Namun saya percaya mereka sudah bersedia untuk menghadapi cabaran itu dan terus dengan amalan pertanian baik untuk menjamin pengeluaran berterusan," katanya.

Mengenai program Bomba Komuniti, beliau berkata ia langkah tepat yang diambil JBPM untuk meningkatkan pengetahuan asas penyelamatan kalangan masyarakat.

"Pengetahuan itu penting untuk membolehkan masyarakat bertindak ketika menghadapi kecemasan sama ada kebakaran, kemalangan ataupun bencana alam," katanya.

FADILLAH merasmikan Karnival Bomba Komuniti Petra Jaya 2023 di Balai Bomba Petra Jaya. FOTO Nadim Bokhari.
FADILLAH merasmikan Karnival Bomba Komuniti Petra Jaya 2023 di Balai Bomba Petra Jaya. FOTO Nadim Bokhari.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mac 2023 @ 11:07 AM