Adly Zahari menyerahkan Rumah Veteran ATM kepada balu anggota ATM di Jalan Jaya, Ayer Baloi. FOTO IZZ LAILY HUSSEIN
Adly Zahari menyerahkan Rumah Veteran ATM kepada balu anggota ATM di Jalan Jaya, Ayer Baloi. FOTO IZZ LAILY HUSSEIN
Izz Laily Hussein


Pontian: Sebanyak 43 permohonan membina rumah baharu di bawah Program Inisiatif Perumahan Veteran (IPV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diluluskan sehingga Jun ini.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding hanya 40 kediaman sahaja yang disasarkan dibina di seluruh negara pada tahun ini.

"Saban tahun, permintaan bagi pembinaan rumah baharu ini menunjukkan peningkatan. Tahun lalu, jumlah peruntukannya adalah untuk pembinaan 25 rumah, tetapi tahun ini jumlahnya meningkat kepada 40 dan sekarang yang sudah diluluskan adalah 43.

"Di peringkat kementerian, penilaian sentiasa dilakukan kerana kita mengambil maklum IPVATM ini amat membantu golongan veteran yang kurang berkemampuan untuk memiliki kediaman sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menyerahkan Rumah Veteran ATM kepada balu anggota ATM di Jalan Jaya, Ayer Baloi di sini, hari ini.

Menurut Adly, rumah yang dibina di bawah program berkenaan mempunyai tiga bilik tidur yang dianggarkan bernilai RM85,000 dan dilaksanakan dengan kerjasama Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

"Kementerian akan cuba mendapatkan lebih peruntukan menerusi bajet bagi memastikan program IPVATM ini dapat diteruskan meski pun berdepan cabaran kenaikan kos barang binaan.

"Mungkin tahun ini kita masih dapat rumah dengan tiga bilik bernilai RM85,000, tetapi kemungkinan besar kos pembinaannya akan meningkat dalam tempoh dua tahun akan datang," katanya.

Namun, Adly berkata, cabaran kenaikan kos pembinaan rumah itu tidak mematahkan semangat Kementerian Pertahanan untuk berusaha menyediakan rumah serta membaik pulih kediaman veteran ATM.

Pada masa sama, Adly yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah mengingatkan anggota veteran ATM supaya mengemas kini data dan maklumat diri menerusi portal 'Veteran Integrated Benefit System' 2.0 (Vibes 2.0).

Katanya, ia bagi membolehkan pihak ATM memperoleh data semasa veteran yang penting untuk program kebajikan, kesihatan, pendidikan dan sebagainya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Jun 2023 @ 3:05 PM