Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari (dua, kiri) menyampaikan replika kunci kepada pesara Angkatan Tentera Zakaria Abdullah pada program Inisiatif Perumahan Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia hari ini. FOTO BERNAMA
Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari (dua, kiri) menyampaikan replika kunci kepada pesara Angkatan Tentera Zakaria Abdullah pada program Inisiatif Perumahan Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia hari ini. FOTO BERNAMA
Mohd Roji Kawi


Kuching: Sebanyak 44 rumah baharu dibina untuk veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), melepasi 40 yang disasarkan untuk dibina tahun ini.

Timbalan Menteri Pertahanan Malaysia, Adly Zahari berkata, pencapaian itu hasil kerjasama baik Kementerian Pertahanan khususnya Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) dengan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) selaku agensi pelaksana projek perumahan veteran ATM.

Menurutnya, sebanyak 200 lagi rumah veteran yang daif di seluruh negara kini sedang dalam proses dibaik pulih.

"Membina baharu dan membaik pulih rumah veteran itu antara lima aspek yang diberikan keutamaan oleh Kementerian Pertahanan selainkebajikan kesihatan, pendidikan, keusahawan dan peluang kerjaya kedua.

"Pembinaan rumah dan menyelenggara rumah veteran itu dijalankan secara berperingkat mengikut peruntukan tahunan yang diberikan.

"Kita akan terus komited berusaha untuk mendapatkan lebih bajet kerana tahun ini kita membelanjakan lebih RM5 juta untuk pembangunan rumah baru.

"Kita berharap dapat dipertingkatkan lagi bilangannya kerana lebih ramai veteran yang memerlukan rumah baharu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyerahkan kunci rumah dibawah Program Initiatif Perumahan JHEV ATM dan SPNB di Kampung Tanjung Bowang, Singai, di Bau, hari ini.

Adly berkata, program perumahan itu antara inisiatif madani Kementerian Pertahanan dalam merealisasikan pelaksanaan dan halatuju Kertas Putih Pertahanan (KPP) dengan memastikan kebajikan dan kesejahteraan Veteran ATM terus terbela dan terpelihara.

Justeru katanya, veteran ATM yang berpendapatan isi rumah bawah RM3,000 sebulan boleh membuat permohonan program Rumah Mesra Rakyat (RMR) yang mana rumah akan dibina atas tanah sendiri dengan kos yang lebih rendah berbanding projek perumahan lain.

"Melalui kuota program ini, veteran ATM akan menerima dua peringkat bantuan iaitu subsidi di bawah Skim RMR yang dikawal selia oleh SPNB berjumlah RM20,000 dan bantuan perumahan JHEV ATM berjumlah RM65,000 di Semenanjung Malaysia dan RM75,000 di Sabah dan Sarawak, manakala kos siling baik pulih

rumah pula adalah sebanyak RM17,000 seunit," katanya.

Sementara itu, penerima bantuan rumah, Zakaria Abdullah, 64, yang menamatkan perkhidmatan sejak 1997 bersyukur menerima bantuan itu.

"Alhamdulillah, saya bersyukur diberi bantuan membina rumah baharu ini kerana sejak tahun 2000 lagi saya terpaksa tinggal di rumah sewa bersama keluarga," katanya

Rumah berkeluasan itu dibina di tanah Zakaria sendiri dengan pembiayaan berjumlah RM75,000 dari JHEV ATM serta RM20,000 dari SPNB dan mengambil masa hanya dua bulan untuk disiapkan berbanding tiga bulan dalam jadual asal.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 September 2023 @ 4:47 PM