Siti Rohana Idris


Tumpat: Seorang balu kepada pesara tentera terharu apabila mendapat rumah baru selepas lebih 20 tahun tinggal di rumah yang tidak sempurna di Kampung Baru Nelayan di sini.

Mazna Mamat, 46, yang menerima rumah baharu daripada Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu adalah satu keajaiban buat mereka kerana langsung tidak menjangkakan untuk memilikinya akibat kesempitan hidup selepas kematian suami, Mat Resad Salleh, 60, tujuh bulan lalu.

"Saya baru sebulan bekerja di kantin sebuah sekolah manakala anak kedua yang berusia 21 tahun pula menjual tudung di sebuah premis di sini.

"(Arwah) suami sebelum ini seorang tentera sebelum bersara dan seterusnya bekerja dengan sebuah syarikat di Hospital Tumpat dengan pendapatan yang cukup makan untuk menyara kami sekeluarga.

"Suami meninggal dunia pada Mac lalu akibat Covid-19 dan selepas itu saya dan dua anak terpaksa bekerja demi kelangsungan hidup termasuk menanggung anak bongsu yang masih bersekolah di tahun empat," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Katanya, JHEV yang mengunjungi keluarganya selepas pemergian suami ingin membantu keluarga itu dan sebaik diluluskan, ia menjadi berita paling gembira buat dirinya.

"Secara jujurnya, kami memang terlalu ingin mendiami rumah yang selesa kerana rumah sebelum ini sudah tidak mampu dibaiki kerana selain banyak ruang yang rosak, kami juga berdepan kekangan kewangan.

"Apabila menerima rumah baharu sebegini, ia adalah satu anugerah besar buat kami kerana sudah tidak perlu bimbang jika basah ketika hujan malah ia jauh lebih baik dari yang kami jangkakan," katanya.

Sementara itu Ketua Pengarah JHEV, Mejar Jeneral Zambery Jeffery Darus dan selain Mazna, dua lagi penerima turut memiliki rumah baharu masing-masing di bawah program yang sama.

Beliau berkata, pembinaan rumah baharu itu menelan kos RM85,000 dengan RM65,000 ditanggung JHEV manakala selebihnya dari Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

"Program ini adalah inisiatif Kementerian Pertahanan dalam menjaga kebajikan Veteran ATM yang tergolong dalam kelompok B40 yang tidak mempunyai rumah atau tinggal dalam kediaman yang daif tapi mempunyai tanah bersesuaian untuk dibina rumah sendiri.

"Kementerian beriltizam untuk terus komited dalam mempertingkatkan lagi inisiatif ini yang membabitkan Veteran ATM di seluruh negara dan akan diteruskan di masa akan datang tertakluk kepada peruntukan," katanya.

ZAMBERY Jeffery Darus (tengah) menyerahkan replika kunci kepada Mazna Mamat, 46, sempena penyerahan rumah di bawah Inisiatif Perumahan Veteran ATM (bina baharu) di Kampung Baru Nelayan. FOTO Siti Rohana Idirs
ZAMBERY Jeffery Darus (tengah) menyerahkan replika kunci kepada Mazna Mamat, 46, sempena penyerahan rumah di bawah Inisiatif Perumahan Veteran ATM (bina baharu) di Kampung Baru Nelayan. FOTO Siti Rohana Idirs

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Oktober 2022 @ 12:30 PM