Dzulkarnain (dua dari kiri) ketika berbual bersama Mohamad Sahil (dua dari kanan) selepas majlis  penyerahan  rumah menerusi inisiatif perumahan veteran ATM di Kampung Sarin. FOTO ABNOR HAMIZAM ABD MANAP.
Dzulkarnain (dua dari kiri) ketika berbual bersama Mohamad Sahil (dua dari kanan) selepas majlis penyerahan rumah menerusi inisiatif perumahan veteran ATM di Kampung Sarin. FOTO ABNOR HAMIZAM ABD MANAP.
Abnor Hamizam Abd Manap


Jelebu: Hadiah syawal paling bermakna buat seorang pesara Angkatan Tentera Malaysia ( ATM ) apabila akhirnya memiliki rumah sendiri hasil bantuan

Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM)

Mohamad Sahil Mat Said, 53 berkata, rumah baru itu yang dibina di Kampung Sarin, Kuala Klawang di sini, mampu memastikan dia sekeluarga hidup lebih selesa.

Menurutnya, dia bersama isteri dan empat anak sebelum itu menumpang di rumah ibunya di Kampung Kuala Pah di sini.

"Anak - anak berusia tiga hingga 13 tahun paling gembira apabila dimaklumkan akan tinggal di rumah sendiri sebaik rumah ini mula dibina akhir tahun lalu," katanya yang bersara pada 2010.

Mohamad Sahil berkata rumah berkenaan dibina diatas tanah milik isterinya, Rubiah Abd Rahman, 39.

Katanya ia menamatkan perkhidmatan sebagai Polis Tentera di Kem Rasah sebelum pulang dan tinggal di kampung.

" Saya mengucapkan terima kasih kepada ATM kerana menjaga kebajikan veteran ATM seperti kami," katanya yang kini bekerja sebagai pengawal keselamatan.

Majlis penyerahan kunci rumah menerusi inisiatif perumahan veteran ATM itu disempurnakan Ketua Pengarah JHEV ATM Mejar Jeneral Datuk Dzulkarnain Ahmad di sini, kelmarin.

Hadir sama Panglima 1 Briged, Brigedier Jeneral Mohd Saifulisham Baharun dan Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad ( SPNB) Haniza Mohamed Talha yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN ) Lembah Jaya.

Menerusi inisiatif ini SPNB memberi subsidi berjumlah RM20,000 daripada keseluruhan kos projek berjumlah RM75,000 itu.

Sementara itu Datuk Dzulkarnain berkata, JHEV ATM memperuntukkan RM4.6 juta untuk pembinaan baharu dan baik pulih 228 unit rumah veteran ATM di seluruh negara dijangka siap hujung tahun ini.

Menurutnya, 46 unit sudah siap dibina manakala bakinya masih dalam proses pembinaan dengan satu unit rumah menelan kos kira-kira RM70,000.

Beliau berkata inisiatif itu sekali gus mengangkat martabat veteran yang telah banyak berjasa kepada negara selain menunjukkan keprihatinan kerajaan sentiasa menjaga kebajikan dan mendengar keluhan golongan berkenaan.

"Bagi veteran ATM yang sudah ada rumah tapi keadaan daif, kita masukkan dalam program baik pulih dengan anggaran RM15,000 ke RM17,000 setiap rumah mengambil kira keadaan struktur rumah. Kita dah terima lebih 1,000 permohonan setakat ini," katanya.

Beliau berkata mereka yang layak perlu membuat permohonan melalui JHEV negeri masing-masing sebelum disemak dengan teliti dan diluluskan Kementerian Pertahanan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mei 2022 @ 9:42 PM