ZAMBERY Jeffery (tengah) bergambar bersama tiga penerima rumah baharu di bawah Inisiatif Perumahan Veteran ATM di Kampung Baru Nelayan. FOTO Siti Rohana Idris
ZAMBERY Jeffery (tengah) bergambar bersama tiga penerima rumah baharu di bawah Inisiatif Perumahan Veteran ATM di Kampung Baru Nelayan. FOTO Siti Rohana Idris
Siti Rohana Idris

Tumpat: Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memperuntukkan RM4.95 juta untuk program baik pulih dan bina baharu di bawah Inisiatif Perumahan Veteran ATM pada tahun ini.

Ketua Pengarahnya Mejar Jeneral Zambery Jeffery Darus berkata, peruntukan berkenaan membabitkan 151 rumah untuk baik pulih dan 31 bina baharu di seluruh negara.

Menurutnya, ia adalah inisiatif Kementerian Pertahanan dalam menjaga kebajikan pesara tentera yang tergolong dalam kelompok B40 kerana tidak mempunyai rumah atau tinggal dalam kediaman yang daif.

"Untuk pembinaan (sebuah) rumah baharu, ia menelan belanja sebanyak RM85,000 yang mana JHEV menyumbangkan RM65,000 dan selebihnya ditanggung Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

"Di Kelantan untuk tahun ini, sebanyak sembilan permohonan pembinaan rumah baharu diluluskan dengan tiga daripadanya sudah siap dibina dan selebihnya akan siap dalam masa terdekat.

"Bagi baik pulih pula, ia menelan kos sehingga RM17,000 sebuah rumah dan untuk negeri ini sebanyak 17 permohonan sudah diluluskan, tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di majlis penyerahan kunci rumah sempena inisiatif perumahan veteran ATM (bina baharu) kepada tiga penerima di Kampung Baru Nelayan, di sini, hari ini.

Zambery Jeffery berkata, tiada kuota khusus diperlukan untuk program bina baharu dan baik pulih itu, sebaliknya setiap permohonan yang diterima akan diteliti bagi membuat pertimbangan sewajarnya.

Menurutnya, setakat ini, seramai 240,000 veteran yang mendaftar dengan persatuan, manakala masih terdapat lebih 60,000 veteran belum mendaftar sekali gus menghalang mereka untuk menerima sebarang bantuan yang disalurkan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Oktober 2022 @ 3:09 PM