Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Seramai 40,000 anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan ditugaskan bagi mengawal keselamatan dan kelancaran Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, jumlah berkenaan membabitkan anggota dan pegawai di negeri terbabit serta bantuan dari negeri-negeri lain.

Menurutnya, penempatan anggota berkenaan adalah bagi memastikan keadaan keselamatan dalam negara terjaga terutamanya di negeri yang terbabit PRN.

"Polis akan tampil dalam keadaan siap siaga bagi memastikan bahawa semua undang-undang itu dapat berjalan dengan baik serta aspek pelanggaran.

"Ini penting sebab rakyat akan diberi peluang untuk memilih tanpa perlu rasa takut untuk keluar rumah. Ini adalah fokus utama pasukan polis, "katanya pada sidang media selepas Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Ketua Polis Negara dan Timbalan Ketua Polis Negara di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur, hari ini.

Sebelum ini, bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dilaporkan berkata, pihaknya mengenal pasti 190 lokasi yang dikategorikan sebagai kawasan panas di enam negeri terbabit dengan PRN

Selangor memiliki kawasan panas tertinggi iaitu sebanyak 70 lokasi. Ia diikuti Terengganu (66), Kedah (20), Negeri Sembilan dan Kelantan masing-masing 16, serta dua lokasi di Pulau Pinang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Jun 2023 @ 2:51 PM