PIHAK Perhilitan dan polis melakukan siasatan terhadap suspek yang dikesan menjual secara haram hidupan liar dilindungi. FOTO Ihsan Perhilitan
PIHAK Perhilitan dan polis melakukan siasatan terhadap suspek yang dikesan menjual secara haram hidupan liar dilindungi. FOTO Ihsan Perhilitan
Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Kajang: Berani jual secara haram hidupan liar dilindungi melalui kaedah jualan but kereta terbuka di tepi jalan serta lokasi tumpuan ramai.

Itu tindakan seorang lelaki tempatan yang ditahan pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) susulan serbuan dilakukan di kawasan parkir sebuah restoran di Beranang, Selangor.

Pengarah Perhilitan Selangor, Wan Mohd Adib Wan Mohd Yusoh berkata, lelaki berusia 30-an itu ditahan hasil Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) pada jam 5 petang kelmarin.

Menurutnya, risikan mendapati suspek turut aktif menjual pelbagai hidupan liar dilindungi termasuk burung melalui laman sosial TikTok.

"Hasil tangkapan dilakukan itu, pihak Perhilitan melakukan pemeriksaan pada but kereta suspek sebelum menemui sejumlah burung.

"Pihak kami kemudian turut melakukan pemeriksaan di rumah suspek yang terletak di Beranang," katanya.

Beliau berkata, hasil dua pemeriksaan itu, pihak Perhilitan dan polis berjaya merampas seekor burung spesis Hans Macaw, tujuh ekor burung spesis Sunconure, seekor burung spesis white bellied Parrot, dua ekor burung Sulphur Crested Cockaktoo dan dua ekor burung Green Cheeked.

"Suspek dikesan menggunakan kereta model Perodua Myvi untuk menjual burung berkenaan menggunakan kaedah jualan but kereta.

"Rata-rata burung dijual menjangkau harga lebih RM500 seekor. Kebanyakan burung ini berasal dari benua Amerika Selatan," katanya.

Susulan itu semua burung berkenaan dianggarkan bernilai RM30,000 dirampas dan suspek disiasat mengikut Seksyen 60 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (pindaan 2022).

"Saya menasihati orang awam dan peminat burung supaya membeli burung di kedai haiwan peliharaan dilesenkan oleh Perhilitan.

"Elakkan berurusan dengan penjual haram berikutan haiwan dan burung yang dibeli diperolehi dari sumber tidak sah dan lesen tidak boleh dikeluarkan. Menyimpan burung tanpa lesen adalah kesalahan serius dan boleh dijatuhi hukuman berat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2023 @ 8:27 AM